Insentif tambahan MARA bantu usahawan.

MARA Umum Insentif Tambahan RM6 Juta Bantu Usahawan Terjejas Akibat Covid-19.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengumumkan dua insentif tambahan bagi membantu usahawan Bumiputera di bawah agensi tersebut yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Pengerusinya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata insentif baharu itu merangkumi Skim Pembiayaan Kemudahan Pengukuhan Perniagaan (SPAK) dan pengecualian sewa premis perniagaan bagi tempoh dua bulan.

Jelas beliau, insentif tambahan yang diwujudkan itu adalah untuk menyediakan pembiayaan perniagaan yang mudah dan cepat di samping memberi jaminan khusus bagi membantu usahawan mikro memulihkan perusahaan mereka yang terjejas teruk.



“Kita (MARA) telah memperuntukkan sejumlah RM6 juta di bawah skim ini dan ia pasti mampu dimanfaatkan oleh lebih 600 usahawan kita.

“Skim ini berkonsepkan Qardhul Hasan dan tidak mengenakan sebarang kadar keuntungan dan akan diproses dengan kadar segera bagi memenuhi keperluan usahawan, sekali gus menyokong aliran tunai syarikat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Azizah berkata MARA telah mengumumkan moratorium bagi pembiayaan perniagaan selama enam bulan dan diskaun 30 peratus sewaan premis bagi tempoh sama.

Tambahnya, kelonggaran tersebut dilaksanakan dengan tetapan beberapa syarat, yang telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 usahawan agensi itu.



“Hasil Kajian Impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas usahawan MARA yang dilaksanakan membabitkan 2,436 responden mendapati wujud keperluan mendesak.

“Justeru itu, kita merasakan perlunya menambah insentif baharu ini bagi memastikan usahawan terus kekal bertahan dan mampu meneruskan perusahaan masing-masing,” katanya.

Mengulas mengenai insentif baharu, Azizah berkata pemohon tidak perlu menyediakan sebarang jaminan atau cagaran, sebaliknya pemohon hanya perlu menyediakan penyokong dalam kalangan keluarga terdekat.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan www.mara.gov.my/Myusahawan.



Setakat ini, MARA mempunyai 7,261 lot premis perniagaan seluruh negara meliputi lot komersial (1,607 lot), arked (3,334 lot), bazar (1,892 lot) dan kawasan industri (428 lot).

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker