Hari Ini Genap 46 tahun berlalu, Pembunuh KPN Abdul Rahman Belum Diketahui

Najib Rahman menunjukkan laporan berita pembunuhan bapanya. Najib dalam perjalanan ke tempat kerja pada 1974, apabila beliau mendapati bapanya ditembak mati. Sehingga hari ini, saudara mara dan rakan masih bertanya mengenai pembunuhan itu.

 

SUBANG JAYA: Pada 7 Jun 1974, Ketua Polis Negara, Abdul Rahman Hashim, ditembak 2 pembunuh di salah satu jalan paling sibuk di Kuala Lumpur pada waktu siang.

Pembunuhan itu mengejutkan negara dan membingungkan polis.

Setengah abad kemudian, persoalan mengenai pembunuhan itu terus menghantui anaknya, bekas wartawan jenayah, Najib Rahman.

Najib, ketika itu 26 tahun, dalam perjalanan ke tempat kerja di New Straits Times dan melalui lokasi pembunuhan beberapa minit selepas bapanya ditembak. Beliau menemui bapanya mati di tempat duduk belakang keretanya.

Ingatan mengenai kejadian itu dan jawapan tidak dijawab selama bertahun-tahun, belum hilang.

Tiada pelaku atau motif pembunuhan. Kes itu tidak pernah selesai, walaupun fail ditutup.

Seperti jenayah lain yang tidak dapat diselesaikan, kematian Abdul Rahman pada usia 51 tahun menyebabkan pelbagai teori timbul.

Kekurangan azam dalam pasukan polis untuk mencari pembunuh ketua polis negara itu sudah lama dipertikaikan.

Satu kenyataan rasmi menyalahkan 2 pembunuh Parti Komunis Malaya (PKM) atas arahan pemimpin mereka, Chin Peng.

Jika ia adalah tindakan komunis, kenapa kerajaan tidak menuntut PKM menyerahkan pembunuh itu ketika rundingan damai pada 1989?

Dua lelaki terbabit dalam pembunuhan Abdul Rahman, tetapi mereka tidak pernah dibicarakan.

Sebaliknya, Lim Woon Chong dan Ng Foo Nam digantung kerana membunuh Ketua Polis Perak, Khoo Chong Kong dan pemandunya, Yeung Peng Chong, pada 1975 di sebuah persimpangan lampu isyarat di Ipoh.

Mereka dijatuhkan hukuman mati di Penjara Pudu pada 1980 atas 2 pembunuhan itu.

Dua lelaki itu turut didakwa atas pembunuhan Abdul Rahman, tetapi tidak pernah dibicarakan untuk jenayah itu.

Sebelum digantung atas pembunuhan di Perak, Lim memohon mahkamah membenarkan dirinya membersihkan namanya daripada pembunuhan Abdul Rahman. Dia mengarahkan peguamnya, mendiang Karpal Singh memohon penggantungannya ditangguhkan.

Karpal memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mempercepatkan kes pembunuhan KPN atas faktor kecemasan. Allahyarham Harun Hashim, hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, mengarahkan perbicaraan Lim atas dakwaan bunuh diteruskan segera.

Bagaimanapun, pertuduhan itu ditarik balik Timbalan Pendakwa Raya, mendiang T S Sambanthamurthi. Hakim mengarahkan Lim dibebaskan.

Tiada siasatan baru dijalankan.

Pada 2010, Najib menulis satu artikel memilukan dalam NST mengenai pembunuhan bapanya, yang mendorong gesaan untuk membuka semula kes itu, tetapi tiada apa yang berlaku.

Keluarga Abdul Rahman masih tidak mendapat jawapan yang dicari-cari.

Dalam satu perbualan di rumahnya di Subang Jaya minggu lalu, Najib bercakap mengenai perkara itu dan bagaimana keluarganya berdepan keadaan berkenaan.

Najib Rahman, 72, anak Abdul Rahman Hashim.

Abdul Rahman berkhidmat untuk Cawangan Khas dari 1960-1972 ketika PKM mencetuskan keganasan dan menjadi tumpuan media.

Ia juga tempoh Malaysia menyaksikan kebangkitan politik radikal dan kemunculan “anti-nasional”.

Ia juga adalah ketika Abdul Rahman merancang untuk memulakan pembaharuan dalam pasukan polis dan timbul spekulasi beliau akan mendedahkan salah laku membabitkan seseorang yang berpangkat tinggi.

Abdul Rahman mempunyai reputasi baik dengan tidak terbabit dalam sebarang masalah politik atau wang.

Pada 7 Jun 1974, beliau dijadualkan menghadiri sebuah mesyuarat dengan Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Thai yang diadakan di Hotel Federal di Jalan Bukit Bintang.

Bagaimanapun, Najib berkata, “sesuatu yang mustahak timbul” ketika bapanya dalam perjalanan menghadiri mesyuarat itu.

Oleh itu, Abdul Rahman dibawa dari kuartersnya, sebuah banglo kolonial milik kerajaan di Jalan Kia Peng, ke ibu pejabat polis di Bukit Aman.

Dua penembak menunggu untuk menyerang hendap beliau di Jalan Weld (Lorong Raja Chulan) di mana keretanya tiba sebelum 8 pagi.

Beliau tidak tahu apa punca perubahan laluan itu, tetapi beliau tahu ia adalah laluan yang biasa diambil bapanya untuk ke pejabat.

Najib sendiri melalui Jalan Weld kira-kira 8.20 pagi dalam perjalanan ke NST, apabila beliau mendapati sekumpulan orang mengerumuni sebuah kereta. Beliau memberitahu Najib yang seorang pegawai polis kanan ditembak.

Abdul Rahman Hashim dibunuh pada 1974.

Naluri Najib sebagai wartawan jenayah timbul. “Ini berita besar,” katanya kepada rakan sekerjanya itu.

Dalam keadaan huru-hara itu, daripada tangga Court Hill beliau ternampak bumbung kereta Mercedes Benz berwarna biru.

Hanya ada sebuah Mercedes-Benz biru di bandar ini. Ia adalah kereta bapanya. Abdul Rahman terlantar di tempat duduk belakang dengan pakaian seragamnya dipenuhi darah.

Dua lelaki itu melepaskan tembakan ke arah KPN dan pemandunya, Sarjan Omar, yang cedera di leher dan melarikan diri dari tempat kejadian.

“Saya ingat perasaan ketika itu. Ia masih segar dan menghantui saya sepanjang hari,” kata Najib yang kemudiannya berkhidmat untuk Berita Harian, di mana beliau bersara sebagai editor.

Berikut pendapat Najib mengenai pembunuhan itu dan isu yang menyusul dalam bentuk soal jawab.

Q: Adakah anda tidak berpuas hati polis tidak menjelaskan pembunuhan bapa anda?

Sudah tentu, polis sudah terangkan, tetapi ia tidak jelas sejak mula. Masih sama, Tiada sabitan.

Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Abdul Razak Hussein, yakin pembunuhan itu ialah tindakan “anti-negara”. Beliau tidak kata “komunis” walaupun negara berdepan serangan daripada serpihan PKM.

Tetapi, sehari selepas pembunuhan itu, Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Ghazali Shafie, menyalahkan komunis. Polis turut senada dengan mendakwa radio rahsia KPM sudah meraikan pembunuhan itu.

Tetapi tiada pengesahan.

Ya, polis mengeluarkan lakaran yang didakwa wajah pembunuh itu, tetapi operasi memburu suspek berakhir tidak lama kemudian.

Ia menimbulkan persoalan: Kenapa Tun Razak menggunakan istilah anti-nasional dan bukannya komunis? Sehingga kini, tiada siapa yang menjelaskannya dengan betul.

Q: Pada 2010, KPN, Musa Hassan mendakwa kes itu ditutup kerana 2 ahli PKM ditahan. Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, bagaimanapun berkata bukti baru sukar ditemui kerana ia berlaku berdekad lalu. Pendapat anda?

Saya rasa Musa tidak dapat membongkar misteri pembunuhan itu. Ketika beliau menjadi KPN, semua petunjuk sudah tiada. Beliau hanya boleh memetik penemuan “rasmi” polis.

Persoalan perlu ditujukan kepada penyandang jawatan itu sebelum Musa, Hanif Omar, yang menjadi KPN selama 15 tahun selepas pembunuhan bapa saya.

Siasatan terhenti di tangannya dan fail disimpan dalam arkib polis, tidak pernah muncul lagi.

Pembunuh ketua polis Perak menafikan mereka membunuh bapa saya.

Najib Razak tidak percaya mereka yang membunuhnya, dan Karpal, yang mewakili salah seorang tertuduh, percaya bukan mereka melakukannya.

Saya juga tidak percaya mereka yang lakukannya kerana, berdasarkan sifat komunis, kedua-dua lelaki itu mungkin bermegah mereka sudah melakukannya.

Tambahan, setiap komunis di dalam hutan akan melaungkan nama mereka jika mereka yang menembak KPN.

Tetapi, 2 lelaki itu didakwa di mahkamah, didapati bersalah dan digantung hingga mati untuk pembunuhan lain, bukannya kes KPN.

Q: Tidakkah anda dapati ia pelik tiada orang yang dibicarakan atas pembunuhan bapa anda?

Saya dapati ia bukan saja pelik. Saya dapati ia sangat membimbangkan yang polis tidak serius memburu pembunuh sebenar ketua nombor 1 mereka tidak kira apa keadaannya!

Saya merasakan ada “kuasa atau kuasa-kuasa” yang mempengaruhi siasatan.

Ia kembali kepada persoalan: Kenapa Tun Razak menyalahkan pembunuhan itu ke atas “anti-nasional”. Siapa anti nasional itu?

Tetapi, pendapat Tun Razak segera dihentikan oleh pendapat polis yang tindakan pengecut itu dilakukan komunis.

Kenyataan itu tidak dibuktikan selepas Lim dan Ng digantung sampai mati atas pembunuhan ketua polis Perak dan pemandunya. Mereka tidak dibicarakan untuk pembunuhan bapa saya.

Polis tidak meneruskan kes pembunuhan ketua mereka dengan sabitan penuh.

Jika komunis bertanggungjawab, kerajaan Malaysia boleh menuntut KPM menyerahkan pembunuh sebenar ketika Perjanjian Damai Hatyai 1989 apabila KPM berhenti melakukan keganasan.

Tetapi tiada permintaan sedemikian.

Jadi, jika ia tidak boleh dibuktikan komunis yang menembak KPN, siapa yang melakukannya?

Ini membawa kita kembali kepada “anti-nasional” yang Tun Razak katakan. Siapakah mereka? Adakah mereka individu yang takut bapa saya tahu mengenai mereka dan mengarahkan penahanan mereka? Atau organisasi berpengaruh?

Q: Adakah anda akan bertegas penemuan ke atas pembunuhan bapa anda didedahkan?

Saya tidak merasakan polis mempunyai penemuan konklusif untuk didedahkan. Kes itu ditutup dan tiada bukti baru yang tidak dapat disangkal ditemui atau suspek baru ditahan.

Q: Karpal Singh menggesa siasatan baru dilakukan sebanyak 3 kali di Parlimen pada 2004 dan 2010. Adakah anda rasa ia patut dibahaskan di Parlimen selepas sekian lama?

Keadaan politik semasa dalam negara ketika ini tidak sesuai untuk perbahasan Parlimen.

Tambahan, tiada alasan untuknya. Jika Karpal masih hidup, saya percaya beliau akan mendesak ia dibahaskan, tetapi beliau sudah meninggal dan kes itu mati bersamanya.

Q: Bagaimana keluarga anda berdepan kes tanpa kesudahan ini?

Keluarga, secara amnya, menerima kematian bapa saya. Kami anggapnya takdir. Selepas 46 tahun, kami menjadi sangat tabah.

Tetapi, masih ramai yang bertanya. Saudara mara dan rakan masih bertanya.

Malah orang asing, apabila mereka tahu saya ialah anak KPN yang ditembak bertanya: “Siapa bunuh bapa anda?” “Adakah polis menangkap mereka?” “Jika tidak, kenapa tidak?”

Sumber : FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker