Tengku Muhammad Taufik Presiden/ CEO Baru Petronas, Wan Zulkiflee Wan Ariffin Terajui MAB – PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan dua pelantikan baharu yang akan menerajui kepemimpinan syarikat milik kerajaan bagi memastikan penyelarasan dasar dan pencapaian objektif sosioekonomi negara.

Mereka ialah Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin yang dilantik sebagai Pengerusi baharu syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz bagi jawatan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu di syarikat Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu kenyataan hari ini, menjelaskan kedua-dua pelantikan berkenaan berkuat kuasa 1 Julai ini.

“Bagi pihak kerajaan, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Wan Zulkiflee selama 37 tahun bersama PETRONAS.

Beliau berjaya mengekalkan PETRONAS sebagai syarikat kerajaan mempunyai kedudukan kewangan kukuh dan ditadbir dengan cemerlang.

“PETRONAS juga adalah satu-satunya syarikat kerajaan mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan masih tersenarai dalam Fortune Global 500.

“Saya percaya di bawah kepimpinan beliau, MAB akan dapat distruktur semula dan terus berkembang sebagai syarikat penerbangan nasional berdaya tahan dan mampan serta mempunyai tadbir urus baik,” katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, industri minyak dan gas kini melalui cabaran hebat dengan ketidaktentuan harga minyak dan ekonomi global yang merundum.

“Saya percaya dengan kemahiran dan pengalaman dimiliki Tengku Muhammad Taufik, beliau bersama Pengerusi sedia ada, Datuk Ahmad Nizam Salleh, akan dapat memimpin PETRONAS ke mercu kecemerlangan,” katanya.

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker