Muafakat Nasional telah bersedia untuk PRU15

Share

Umno, PAS jangka PRU15 dalam masa terdekat – Sumber

Ketika Pakatan Harapan (PH) galak menyebut mengenai pertukaran semula kerajaan, Muafakat Nasional pula rancak memperkemaskan persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menurut sumber parti itu, di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur malam kelmarin berlangsung mesyuarat jawatankuasa perundingan Muafakat Nasional bagi membincangkan agenda PRU15.


Jelas sumber, Muafakat Nasional yang terdiri daripada Umno dan PAS menjangkakan PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat berikutan kemelut politik negara yang tidak berkesudahan.

“Mesyuarat malam tadi membincangkan persiapan PRU15 yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

“PRU15 dijangka akan diadakan selepas hal-hal berbangkit dalam PN dan Bersatu diselesaikan,” katanya kepada Malaysiakini.


Spekulasi PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat tercetus apabila Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memberi isyarat partinya telah bersedia menghadapi PRU.

Kenyataan itu dibuat Zahid di laman sosial Facebooknya selepas menerima kunjungan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Menariknya, kenyataan itu dikeluarkan di tengah-tengah spekulasi akan berlaku semula perubahan kerajaan serta krisis politik membabitkan kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan pengerusi Bersatu yang dipertikaikan, Dr Mahathir Mohamad.


Menjelaskan perkara itu, Najib berkata PRU15 adalah jalan terakhir bagi mengembalikan kestabilan politik negara jika PH terus mengugat kerajaan PN.

Jelas Najib, sokongan Umno BN kepada PN juga telah dizahirkan sehingga PRU15.

Mahathir, bersama PH dan Parti Warisan Sabah (Warisan) pula mendakwa mempunyai angka mencukupi untuk mengambil alih tampuk pentadbiran negara yang kini dikuasai PN.

Kemelut dalaman Bersatu menyaksikan Mahathir serta anaknya yang juga bekas timbalan presiden Bersatu, Mukhriz serta tiga pemimpin lain iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik dan Amirudin Hamzah disingkirkan daripada parti itu.

Bagaimanapun mereka mendakwa pengguguran sebagai ahli Bersatu itu tidak mengikut undang-undang dan perlembagaan parti.

Isu agihan kerusi Umno PAS dah dibincangkan

Sementara itu, sumber memaklumkan isu agihan kerusi antara PAS dan Umno telah pun dibincangkan sejak sekian lama.

Bahkan katanya, secara dasar isu agihan kerusi telah dipersetujui dan hanya belum dimuktamadkan lagi.

Mengulas lanjut, sumber berkata mesyuarat malam tadi juga turut membincangkan mengenai penubuhan majlis setiausaha PN.

“Majlis setiausaha PN ini akan dibentuk dalam kadar segera dan secepat mungkin.

“Ia bagi mengurus soal perbincangan dan rundingan yang sepatutnya berlaku,” katanya.

Naib presiden Umno, Mohamed Khaled Nordian ketika dihubungi mengesahkan mesyuarat jawatankuasa perundingan Muafakat Nasional berlangsung malam kelmarin.

Mkini

Leave a Reply