Lebih 60 tahun jual petai dengan basikal tua

ALOR GAJAH: Usia bukan halangan warga emas, Saleh Hasan, 82, mengayuh basikal ke pasar Alor Gajah menjual petai dan buah-buahan walaupun sudah lebih 60 tahun melakukan kerja berkenaan.

Malah, Saleh bersyukur diberi kesihatan yang baik sepanjang tempoh itu dan masih mampu mengayuh basikal menjual hasil kampung, walaupun berpanas serta berhujan.

Sememangnya, menakjubkan dalam usia terbabit beliau masih gigih menggunakan basikal tua menjaja jering, petai dan sayuran dari rumahnya di Pegoh ke Pasar Alor Gajah, di sini.

Baginya, basikal tua yang dilengkapi bakul itu amat berjasa untuk menampung rezeki halal sekali gus membantu penduduk kampung memasarkan hasil tani mereka.

Katanya, beliau membeli hasil itu dan ada juga penduduk meminta dia menjualkannya dan hasilnya di bahagi selepas ditolak upah.

PETAI antara yang dijual Saleh hasil tanaman penduduk kampungnya. (Foto/Nazri Abu Bakar)
PETAI antara yang dijual Saleh hasil tanaman penduduk kampungnya. (Foto/Nazri Abu Bakar)

‘Pelbagai ulaman ,sayuran termasuk buah kuini, bacang, belimbing, binjai dan durian turut dijual mengikut musim.

“Apa sahaja yang boleh menjana pendapatan mendorong saya menjualnya.

“Saya juga menjual dengan harga murah dan berpatutan yang mampu dibeli oleh orang ramai termasuk penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata, seawal tujuh pagi beliau sudah berkayuh kira-kira tiga kilometer ke pasar berkenaan dan jika habis lebih cepat termasuk yang membeli ketika dalam perjalanannya akan pulang lebih awal.

Apapun, keseronokan menjadi peniaga menyebabkan beliau kekal meneruskan kerjaya berkenaan selepas bermula pada usia 18 tahun.

Malah dengan berbasikal menyebabkan dirinya mudah berpeluh sekali gus sebagai inisiatif penjagaan kesihatan fizikal dan mental sejak muda sehingga sekarang.

Saleh berkata, beliau bersyukur masih mampu mengayuh basikal dan menjaja hasil tani berkenaan walaupun kudrat tidak segagah usia remaja.

Beliau juga pernah berniaga petai dan pelbagai ulaman di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur sejak sekitar 1970-an mengakui pelbagai pengalaman pahit manis yang menyeronokkan.

Apapun, bagi generasi muda dan lama di daerah berkenaan pastinya amat mengenali beliau berikutan dia antara penjual terawal yang berniaga di tiga pasar di bandar berkenaan.

Katanya, bermula berhampiran salah sebuah dewan di stesen bas sekitar 1960-an, di bandar itu diikuti berhampiran bulatan menuju dari Simpang Empat/ Pulau Sebang/Bandaraya Melaka, pada 1970-an dan di tapak pasar sekarang.

SALEH tetap gembira menjaja buahan dan sayuran yang dilakukan sejak 60 tahun lalu.
SALEH tetap gembira menjaja buahan dan sayuran yang dilakukan sejak 60 tahun lalu.

Beliau antara yang masih kekal berniaga sehingga ke hari ini.

Justeru, beliau mengharapkan kesihatannya terus berada dalam keadaan yang baik termasuk penglihatan dan pendengaran bagi meneruskan khidmat dan bakti.

Beliau gembira sentiasa mendapat sokongan komuniti masyarakat berikutan niatnya hanya untuk membantu memasarkan produk kampung dan bertemu orang ramai, menjalinkan ikatan silaturahim dan kasih sayang dan bukan wang semata-mata.

Apa yang pasti, kegigihannya, nyata menjadi azimat berharga buat generasi kini untuk terus menjadikan kisahnya sebagai motivasi masing-masing dalam apa juga bidang diceburi.

BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker