Bantu guru dapatkan tiket penerbangan murah untuk pulang bertugas

SEREMBAN – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) berharap syarikat penerbangan dapat menawarkan harga tambang murah atau secara pakej kepada golongan guru yang terkandas di Semenanjung untuk pulang bertugas di Sabah dan Sarawak.

Presiden iGuru Mohd Azizee Hasan berkata, ia bagi mengurangkan beban kos penerbangan yang tinggi terpaksa ditanggung mereka terutama yang berkeluarga.

“iGuru mengambil maklum berkaitan arahan kepada guru-guru supaya kembali bertugas ke tempat asal bekerja berdasarkan surat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada Khamis lalu.

“Namun arahan itu boleh memberikan sedikit masalah kepada guru-guru yang berada di semenanjung untuk merancang pulang bertugas.

“Ini kerana ia melibatkan kos penerbangan, jadual penerbangan, tempoh kuarantin dan jarak serta perjalanan ke tempat bertugas terutama yang bertugas di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pihaknya turut mencadangkan jadual penerbangan ditambah dari dua kali seminggu kepada empat kali seminggu dalam tempoh ini bagi memudahkan guru-guru yang berada di Semenanjung untuk pulang bertugas di Sabah dan Sarawak atau guru dari negeri berkenaan untuk pulang bertugas ke Semenanjung.

Selain itu katanya, pihaknya juga mencadangkan pentadbir sekolah dapat menggunakan budi bicara dan ambil maklum masalah yang mungkin dihadapi guru dengan diberikan sedikit kelonggaran untuk pulang.

Jelas beliau, pihak sekolah boleh mengutamakan guru yang sedia ada di dalam kawasan bertugas dahulu sebelum yang berada di luar kawasan apatah lagi di Semenanjung.

“Utamakan guru-guru yang mengajar tingkatan lima dan enam dahulu sebelum guru-guru dari tingkatan lain.

“Ia boleh dilakukan secara berperingkat mengikut keutamaan dan kesesuaian masa,” katanya.

Beliau berharap keprihatinan pihak yang berkaitan dapat membantu untuk menangani masalah dihadapi segelintir warga pendidik untuk kembali bertugas ke tempat kerja masing-masing dengan selamat dan tiada beban kos kewangan yang tinggi.

SH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker