Redalah Tun Mahathir, tamatkan persengketaan politik ini

Share

CATATAN: Datuk Wan Ahmad Wan Omar
Naib Presiden Gerakan NGO Qiam

Assalamualaikum WBT, semoga YB Tun sihat sejahtera dan sentiasa di dalam lindungan Allah SWT jua.

1. Izinkan kami menyentuh sedikit tentang keadaan negara kita. Pada Mei 2019, selepas setahun, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah negara, rata-rata rakyat mula kecewa atas kegagalan PH menunaikan manifesto segala janji manis kepada rakyat semasa kempen PRU14.

2. Kepada orang Melayu, yang beralih sokongan kepada YB Tun semata-mata kerana keberadaan YB Tun di dalam PH dan menolak kerajaan kleptokrasi di bawah BN. Bertambah lagi kekecewaan mereka bila mana kedudukan keistemewaan orang Melayu/Bumiputra telah mula diceroboh dan dipersoalkan oleh DAP, Lim Guan Eng serta konco-konconya satu-persatu.

3. Sedang kepentingan orang Melayu dipersoalkan, YB Tun dan pemimpin-pemimpin Melayu dalam PH tidak bersuara dan diam membisu. Justeru, orang Melayu sebagai kaum majoriti di bumi ini merasa amat tergugat dan mula hilang keyakinan terhadap keupayaan YB Tun sebagai PM ke-7 yang terlalu lemah untuk menjaga amanah Raja-Raja Melayu, Bangsa Melayu dan Islam di negara ini.

4. Dengan kuasa Allah SWT pada 24hb Februari 2020, Allah menggerakkan hati YB Tun untuk meletak jawatan sebagai PM ke-7. Tiada siapa yang mendesak malah DYMM YDP Agong sendiri menasihat YB Tun untuk tidak berbuat demikian. Namun di atas kehendak Allah SWT jua, YB Tun tidak berubah fikiran, tidak berganjak dengan keputusan YB Tun itu.

5. Disebabkan YB Tun bertegas dengan keputusan itu, YDP Agong dengan hati yang sedih terpaksa akur dan menghormati keputusan YB Tun. Akibatnya, jawatan Perdana Menteri, selaku ketua kerajaan, telah menjadi kosong.

6. Justeru, YDP Agong terpaksa menjalankan tanggungjawab baginda sebagai ketua negara untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu sapertimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Untuk itu, baginda Tuanku berpendapat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang layak untuk dilantik sebagai PM ke8 kerana beliau telah mendapat sokongan majoriti dari 222 Ahli Dewan Rakyat.

7. YB Tun, tidakkah itu prinsip ‘Rule of Law’ yang Tun sendiri berjanji kepada rakyat dan perjuangkan selama ini? Kenapa kini YB Tun (yang secara sukarela bertindak meletak jawatan) menuduh YAB Tan Sri Muhyiddin sebagai ‘pengkhianat’?

8. Budak-budak Tun termasuk PKR, DAP dan Amanah melabelkan sebuah kerajaan yang ditubuh secara sah di sisi undang-undang sebagai ‘kerajaan pintu belakang’. YB Tun sanggup bersekongkol dengan DAP mengusulkan undi tidak percaya. Usaha terus dibuat untuk menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang. Kita hendaklah reda ketentuan Ilahi kerana semua yang berlaku itu adalah perancangan dan kehendak Allah Yang Maha Kuasa.

9. Dengan rendah diri dan penuh takzim, seluruh warga QIAM, dengan tulus ikhlas merayu kepada YB Tun yang sangat kami hormati dan sanjung tinggi, supaya berhati murni dan berjiwa besar untuk menerima hasrat perdamaian dari YAB Perdana Menteri dan menamatkan persengketaan politik yang amat merugikan bangsa dan negara.

10. Wabak Covid-19 yang melanda dunia termasuk negara kita, telah membawa pelbagai kesusahan kepada rakyat dan mengancam ekonomi negara. Justeru, harapan rakyat, terutama orang Melayu, adalah amat tinggi agar persengketaan politik orang Melayu diberhentikan segera dan digantikan dengan persefahaman dan perdamaian demi kebaikan masa depan anak cucu di bumi ini.

11. Rakyat faham YB Tun terlalu marah dan tidak mahu bersekongkol dengan kepimpinan UMNO yang rasuah. Mereka semua sedang dihadapkan di mahkamah. YAB Tan Sri Muhyiddin sendiri telah berjanji bahawa kerajaan pimpinannya tidak sekali-kali akan mengganggu proses mahkamah yang berjalan sekarang. Rata-rata rakyat juga yakin dan menyerahkan kepercayaan kepada proses Mahkamah dalam perkara berkenaan. Jika perasuah didapati bersalah, hukuman setimpal akan menimpa mereka.

12. QIAM merasakan adalah tidak adil jika YB Tun terus memusuhi YAB Tan Sri Muhyiddin kerana meninggalkan PH dan menjalinkan persahabatan silaturrahim sesama bangsa dan seagama dengan UMNO dan PAS, dua parti politik Melayu yang terbesar di negara ini. YB Tun sendiri pernah berulangkali menyeru supaya parti-parti politik Melayu berdamai bagi menjamin kuasa politik di bumi ini kekal di tangan Bangsa kita.

13. Amat tepat sekali jika YB Tun menyokong kerajaan PN kerana ianya diterajui oleh Presiden parti BERSATU iaitu parti yang Tun sendiri terlibat menubuhkannya, yang didukung oleh UMNO, parti yang menyokong Tun selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri.

14. YB Tun, bantulah kerajaan yang sekarang bertungkus-lumus berusaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat akibat wabak Covid19. Rakyat menaruh setinggi harapan agar Tun sedia berdamai dan menamatkan kemelut politik yang menyusahkan rakyat dan negara.

15. Berilah laluan kepada YAB Tan Sri Muhyiddin untuk memimpin negara demi masa depan bangsa, agama dan negara. Semua Yang Berlaku adalah perancangan dan ketentuan Allah Yang Maha Kuasa. – SuaraMerdeka

(Visited 1,465 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!