Kerajaan sedia peruntukan RM75 juta bantu ekonomi gig – PM Muhyiddin

Terkini di My KMU !!!!---->

Sebanyak RM75 juta akan diperuntukkan bagi membantu ekonomi gig, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, beliau berkata geran RM50 juta dalam bentuk dana padanan pula akan diperuntukkan untuk platform ekonomi gig bagi pekerja yang mencarum di bawah Skim Bencana Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Dalam usaha menggalakkan bidang freelancing, MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) akan diberi peruntukan RM25 juta bagi program Global Online Workforce (GLOW),” katanya ketika membentangkan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) yang disiarkan secara langsung di stesen-stesen televisyen tempatan, hari ini.

Ekonomi gig ialah pasaran buruh kontrak jangka pendek atau kerja bebas yang dilakukan oleh individu yang dipacu teknologi digital.

Dalam pada itu, bagi mendorong perusahaan mikro serta Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menggunakan khidmat digital, Muhyiddin berkata kerajaan bersama-sama pihak swasta akan membiayai usaha tersebut melalui geran padanan sebanyak RM140 juta.

“Peruntukan akan diguna untuk sesi latihan, subsidi dan bantuan penjualan yang diterajui MDEC bersama platform e-dagang terpilih,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply