Ambil semua langkah selamatkan ekonomi demi rakyat dan negara, kata Tok Mat

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menggesa Putrajaya supaya mengambil semua langkah perlu bagi menyelamatkan ekonomi yang terkesan teruk akibat penularan wabak Covid-19 dan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam satu kenyataan beliau berkata, dunia kini melalui tempoh luar biasa dengan ekonomi global dijangka mengecut sebanyak 3.2% dan merupakan penurunan paling besar sejak Zaman Kemelesetan pada 1930-an.

Katanya, lebih 34 juta orang di seluruh dunia diramalkan jatuh ke bawah garisan kemiskinan melampau dan di Asia sahaja, Bank Pembangunan Asia menjangka lebih 68 juta pekerjaan akan hilang.

“Di Malaysia, kadar pengangguran boleh mencapai sehingga 9.2%, dengan komuniti B40 paling terkesan.

“Dengan musnahnya banyak syarikat perniagaan, Malaysia kini mengalami kemelesetan ekonomi paling buruk dalam sejarah. Ini merupakan zaman luar biasa bagi negara,” katanya.

Zaman luar biasa menuntut langkah luar biasa bagi memulihkan ekonomi, kata Mohamad.

“Kita perlu mengambil semua langkah perlu. Kita perlu menyelamatkan rakyat dan kehidupan mereka.”

Beliau berkata, kerajaan tidak harus dibataskan kepada nisbah defisit fiskal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sejak pakej tambahan terbaru sebanyak RM10 bilion diumumkan, kerajaan menyemak semula nisbah defisit fiskal kepada 4.7% KDNK, lebih besar berbanding nisbah sebelum ini sebanyak 3.4% KDNK selepas pakej rangsangan pertama, tetapi Malaysia pernah mengalami defisit fiskal lebih tinggi, iaitu 6.7% pada 2009.”

Beliau berkata, ramai pakar percaya kemelesetan ekonomi tahun ini bakal menjadi lebih buruk daripada 2009.

“Kenapa kita masih terlalu berhati-hati untuk akur pada nisbah defisit fiskal kepada KDNK ini? Kita perlu faham bahawa defisit fiskal sementara yang besar dalam bentuk bantuan bersasaran adalah perlu bagi mengelakkan kemusnahan ekonomi dan sosial yang berkekalan.”

Mohamad, yang lebih dikenali dengan panggilan Tok Mat berkata, wujud keperluan untuk menyemak kepatuhan kepada had nisbah hutang kepada KDNK sebanyak 55% kerana “fasal elak” diperlukan bagi membolehkan kerajaan bertindak di luar had itu untuk tempoh masa tertentu.

“Malah kita harus membenarkan kerajaan melepasi had hutang kepada KDNK sebanyak 5 ke 10% lagi.

“Selain itu, mekanisme pemulihan mesti diwujudkan apabila ekonomi menjadi bertambah baik bagi menghindari gangguan moral jangka panjang, sekali gus mempertahankan kemampuan kredit Malaysia,” katanya.

Ini berdasarkan kefahaman bahawa negara boleh berdepan defisit dan menanggung hutang yang besar selagi para peminjam percaya Malaysia boleh membayar hutang itu pada masa depan.

“Ia hanyalah langkah sementara sehingga ribut mereda. Ia bagi memelihara kehidupan ramai rakyat, terutama golongan yang bergelut untuk terus hidup,” katanya, selain menambah bahawa ia bukan pula alasan untuk pembaziran, kebocoran atau naungan politik.

“Sebaliknya, nasib hidup rakyat haruslah menjadi teras bagi semua tindakan kita.”

Mohamad berkata, wujud keperluan untuk melaksanakan pelaburan awam bersandarkan dana defisit yang besar melalui pakej rangsangan secara berterusan sehingga ekonomi pulih.

“Kerajaan perlu memelihara kapasiti produktif negara dan pada waktu sama menangani masalah kesukaran dan ketaksetaraan ekonomi bagi menjadikannya lebih mapan,” katanya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker