4 pimpinan tertinggi PPBM keluar mesyuarat tidak puas hati dengan perbincangan

Empat pimpinan PPBM, yang dipercayai berpihak kepada Dr Mahathir Mohamad, keluar mesyuarat parti yang dipengerusikan oleh presiden Muhyiddin Yassin malam tadi kerana tidak berpuas hati dengan perbincangan yang berjalan.

Empat pemimpin tersebut iaitu Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Tariq Ismail, Abu Bakar Yahya dan Ulya Aqamah Husamuddin membantah keputusan mengadakan mesyuarat berkenaan dengan berkata, ia tidak sah.

Mereka mendakwa apa-apa juga keputusan yang dibuat tidak sah kerana borang pencalonan pemilihan parti telah dikemukakan.

“Semua MPT adalah ‘caretaker’ sebab bila hantar borang pencalonan, maka telah dibubarkan,” kata Ulya Aqamah kepada pemberita, tetapi enggan mendedahkan perkara yang dibincangkan

“Semua jawatankuasa pusat dibubarkan, yang ada ‘caretaker’ seperti ‘caretaker government’, tak boleh buat keputusan dasar.

Akramsyah berkata, pemilihan parti itu menjadi tanda tanya kerana ia berkait rapat dengan wabak Covid-19.

“Kita ambil iktibar dan nasihat PM supaya fokus tangani Covid-19,” katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan kumpulan itu mewakili Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu setiausaha agung PPBM Hamzah Zainuddin berkata, mereka akan mengadakan sidang media esok (Jumaat) untuk memaklumkan perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat malam ini.

Mesyuarat malam ini diadakan selepas seminggu parti itu mengumumkan pelucutan keahlian Mahathir dan 4 yang lain, iaitu Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Amiruddin Hamzah dan Maszlee Malik secara automatik.

Lima pemimpin itu duduk di kerusi blok pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat 18 Mei lepas.

Mahathir meletak jawatan sebagai pengerusi PPBM selepas peletakan jawatan sebagai perdana menteri pada Februari. PPBM keluar Pakatan Harapan (PH) selepas itu.

Pemimpin veteran tersebut mendakwa beliau masih merupakan pengerusi PPBM walaupun Pendaftar Pertubuhan mengesahkan peletakan jawatan beliau.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker