Prof Dr Bahari Belaton Orang Asli pertama pegang dua jawatan ketua jabatan

Terkini di My KMU !!!!---->

GEORGE TOWN, 3 Jun — Prof Dr Bahari Belaton, dilantik sebagai Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pengarah Pusat IPv6 Termaju Negara (NAv6),  menggantikan Prof Dr Rosni Abdullah @ Mustafa bagi kedua-dua jawatan itu berkuat kuasa semalam.

USM dalam kenyataan hari ini berkata dengan kedua-dua pelantikan itu, Bahari sekali gus menjadi Orang Asli pertama yang dilantik menjadi dekan dan menyandang dua jawatan ketua jabatan secara serentak di institusi pengajian tinggi negara.

Menurut kenyataan itu, Bahari yang berasal dari suku kaum Semai dari Kampung Orang Asli Tangkai Cermin, Perak, mempunyai pengalaman luas dan telah mengembara ke luar negara menuntut ilmu seterusnya mendapat ijazah pertamanya dalam bidang Sains Komputer di South Australian Institute of Technology, Australia pada tahun 1989.

“Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang ‘Pengamatan Data Saintifik, Grafik Komputer dan Keselamatan Rangkaian’  telah berkhidmat lebih daripada 24 tahun bersama-sama USM dan sepanjang tempoh itu, banyak kejayaan beliau khususnya dalam pembangunan akademik dan penyelidikan telah dizahirkannya,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

 

Leave a Reply