Periksa suhu badan, makan dalam kelas amalan baru di sekolah

Pemeriksaan suhu badan di sekolah dan makan di dalam kelas pada waktu rehat antara kebiasaan baru bakal diamalkan oleh pelajar apabila sekolah dibuka kelak.

Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin berkata garis panduan itu menetapkan pemeriksaan suhu badan dilakukan oleh guru setibanya pelajar di pintu pagar sekolah dan sekiranya bergejala tindakan selanjutnya akan diambil.

“Kita juga sedar pelajar ini kadang-kadang ke sekolah berjalan kaki, ada yang naik basikal dan suhunya tinggi sedikit daripada 37.5 darjah celsius…pelajar ini akan diminta berehat dulu bagi memastikan suhu badan kembali normal dan suhu diperiksa sekali lagi.

“Setiap sekolah juga memang kena ada bilik isolasi iaitu jika pelajar menunjukkan sebarang gejala maka mereka akan dibawa ke sini dan pihak sekolah selain menghubungi ibu bapa, juga akan berhubung dengan Pusat Kesihatan berdekatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas lawatan kerja bagi persediaan pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Semenyih baru-baru ini.

Kebiasaan baru itu antara kandungan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) yang mula diedarkan kepada sekolah dan dimuat naik di laman sesawang kementerian hari ini.

Garis panduan setebal 34 muka surat itu dihasilkan secara terperinci dan menyeluruh bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Radzi berkata ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai aspek penjarakkan sosial ketika anak di kantin memandangkan waktu rehat dijalankan secara berperingkat dan semua pelajar perlu makan di kelas masing-masing.

“Pelajar perlu membeli makanan berbungkus dan mereka akan beratur mengikut garisan yang ditetapkan dengan jarak satu meter antara satu sama lain sebelum pulang ke kelas masing-masing untuk makan.

“Jadi, keadaan di kantin lebih tersusun dan ibu bapa tidak perlu risau anak-anak berebut ke kantin kerana masa rehat akan dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan tidak semua pelajar berkerumun di kantin dalam satu-satu masa tertentu…kita akan menjarakkan waktu rehat,” katanya.

Bagi memastikan penjarakkan sosial antara pelajar terjaga, susunan meja bagi setiap kelas mesti dalam jarak 1 meter dan sekiranya bilangan pelajar melebihi kapasiti meja disediakan, lebihan pelajar mesti ditempatkan di kelas lain.

Kedudukan pelajar di dalam makmal juga dijarakkan antara satu sama lain bagi membolehkan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan baik dan selamat.

Mengenai pergerakan pelajar dalam kawasan sekolah, beliau berkata arah laluan pelajar akan ditanda dengan anak panah bagi mengelakkan pertembungan berlaku.

Guru-guru juga tidak perlu khuatir kerana mengikut garis panduan yang dikeluarkan, keselamatan dan kesihatan mereka turut dititikberatkan oleh kementerian.

“Pihak sekolah perlu memastikan terdapat penjarakkan sosial walaupun dalam bilik guru. Guru-guru yang dipindahkan dari bilik guru asal akan ditempatkan di bilik bersesuaian termasuklah pusat sumber dan sebagainya,” katanya.

Kementerian turut mengeluarkan garis panduan sama bagi pelajar tinggal di asrama iaitu katil dijarakkan 1 meter malah dewan makan yang disediakan turut menitikberatkan penjarakkan sosial antara pelajar.

Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker