2 KRITIKAN TERHADAP PEMIKIRAN ISLAM TUN DR MAHATHIR

Share
Pada 25 Mac 2018, saya pernah mengkritik Tun Dr Mahathir melalui satu tulisan bertajuk “Pemikiran Islam Yang Tidak Betul Sebab Terbesar Tun Dr Mahathir Tidak Layak Jadi Perdana Menteri” yang boleh dibaca di sini: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=1858704714173578&id=100001022016761
Berikut adalah petikan kritikan saya ini:
“Berdasarkan rekod-rekod, ternyata Tun Dr Mahathir tidak mempunyai kefahaman Islam yang betul kerana, seperti disebut oleh Almarhum Datuk Dr Haron Din, pemikiran Islam beliau adalah pemikiran golongan ‘muktazilah’ yang “mengutamakan akal dalam tindakan mereka dan sanggup membelakangi ayat al-Qur’an, al-Hadith dan apatah lagi pandangan ulama’”.
Turut disebutkan oleh Almarhum betapa Tun Dr Mahathir, waktu masih menjadi Perdana Menteri, telah mempertikaikan hadith yang sahih bahawa Nabi Muhammad menyimpan janggut di mana perkara ini, mengikut Almarhum, “boleh menjejaskan aqidah”, di samping boleh menyebabkan “ramai orang lain yang akan turut sesat sama” bila dikeluarkan.
Sikap Tun Dr Mahathir mempertikaikan hadith terpancar di dalam banyak ucapan dan kenyataan beliau, malah telah diakui sendiri oleh Dr Kassim Ahmad di dalam buku “Mencari Jalan Pulang” yang menulis betapa buku anti-hadith, “Hadis – Satu Penilaian Semula”, yang telah diharamkan telah diberikan sokongan peribadi dan disemak oleh Tun Dr Mahathir.
Persamaan antara Tun Dr Mahathir dan Dr Kassim dalam mempertikaikan hadith ini turut didedahkan oleh Datuk Mohd Nakhaei Ahmad di dalam buku “Meniti Hari Menuju Senja” yang menyebut betapa, berdasarkan satu perbincangan mereka, Datuk Mohd Nakhaei mendapati “kemusykilan Tun Dr Mahathir menyamai apa yang difahami oleh Dr Kasim Ahmad”.
Penolakan Tun Dr Mahathir terhadap undang-undang Islam, khususnya hudud, telah menjadi satu rekod umum, malah selepas beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri pun penentangan beliau ini berterusan dengan menyebut di UNIMAS, Sarawak, pada 26 Februari 2012 bahawa “hukum hudud ini dibentuk oleh ahli-ahli feqah” dan “tidak terdapat dalam al-Qur’an”.
Lebih baru ialah kenyataan Tun Dr Mahathir yang disiarkan dengan agak meluas oleh portal-portal berita tempatan pada 19 Februari 2017 yang menolak hukuman sebat 100 kali dalam Islam dengan berkata “ini nak sebat orang sampai 100 kali, mati kalau sebat 100 kali” di mana ini “ini bukan cara Islam, cara Islam ialah cara yang adil dan bertimbang-rasa”.”
Kritikan ini dijawab oleh Tun Dr Mahathir pada 31 Mac 2018 melalui satu tulisan bertajuk “Islam Saya” yang boleh dibaca di sini: http://chedet.cc/?p=2832
Kemudian, pada 1 April 2018, tulisan Tun Dr Mahathir ini saya jawab balik melalui satu tulisan bertajuk “Tulisan Terbaru Tun Dr Mahathir Sahkan Islam Beliau Memang Tidak Betul” yang boleh dibaca di sini: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=1867166346660748&id=100001022016761
Berikut adalah petikan kritikan saya ini:
“Masalah Tun ialah Tun suka mempertikaikan, dengan mengguna akal fikiran, perkara-perkara yang sudah ada dalil qat’ie/jelas di dalam Qur’an atau Hadith seperti pensyariatan hudud dengan menyebut, pada 26 Februari 2012, “hudud tidak terdapat dalam al-Qur’an”.
Bukan setakat Tun sahaja, malah anak Tun sendiri, iaitu Datuk Paduka Marina, juga menyebut perkara sama sebelum ini, termasuk di dalam akhbar The Star pada 18 Julai 2012 bahawa kononnya “none of the so-called hudud punishments can be found in the Qur’an”.
Jika Tun dan Datuk Paduka Marina membaca al-Qur’an dengan betul maka sudah pasti akan didapati bahawa istilah “hudud” terdapat dalam al-Qur’an, antara lainnya di dalam Ayat 187 dan 229 Surah al-Baqarah, Ayat 13 dan 14 Surah al-Nisa’ serta Ayat 1 Surah al-Talaq.
Jika al-Qur’an dibaca dengan betul maka sudah pasti akan didapati bahawa hukum hudud terdapat dalam al-Qur’an, antara lainnya di dalam Ayat 38 Surah al-Ma’idah (curi), Ayat 33 Surah al-Ma’idah (hirabah), Ayat 3 Surah al-Nur (zina) dan Ayat 4 Surah al-Nur (qazaf).
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata di dalam portal berita Malaysia Kini pada 23 Ogos 2012 bahawa “orang yang menentang hukum yang ada di dalam al-Quran, dia terkeluar agama” dan “kalau pertikai hudud itu sendiri, dia telah keluar agama”.
Begitu juga dengan Timbalan Penasihat Umum AMANAH, Abdul Ghani Samsudin, yang menyebut, pada 3 Januari 2013, bahawa kenyataan Tun bersabit “hudud tiada dalam al-Qur’an” adalah “kenyataan salah yang perlu ditarik balik dan menggugat aqidah umat Islam”.”
Satu pengalaman yang agak menarik bila dapat berhujah, melalui lisan dan tulisan, dengan Tun Dr Mahathir.
Dr. Kamarul Yusoff

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!