Makmum solat Jumaat ditentukan jawatankuasa masjid

Share

KOTA BHARU – Jawatankuasa masjid diberikan kuasa untuk memilih makmum mengikut mukim masing-masing bagi mendirikan solat Jumaat bermula lusa, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Menurutnya, sebelum ini solat Jumaat hanya dibenarkan untuk 12 orang iaitu melibatkan pihak pengurusan atau ahli jawatankuasa masjid tersebut.

“Alhamdulillah, kita sudah boleh menambah jumlah makmum untuk solat Jumaat iaitu dari 12 sebelum ini dan kini kepada 40 orang iaitu bermula Jumaat ini.

“Saya difahamkan, dalam perbincangan yang lepas, kalau SOP (Prosedur Operasi Standard) itu diterima sepenuhnya, kita akan serahkan kepada pihak jawatankuasa masjid untuk mengenal pasti makmum-makmum dalam mukim itu dan mereka akan dijemput secara khusus.

“Mungkin akan dibuat giliran, minggu ini kumpulan satu, minggu depan kumpulan dua, ini terserah kepada pengurusan masjid itu sendiri dengan syarat mereka patuh pada SOP iaitu tiada makmum yang bergejala tidak sihat, demam, semua tidak boleh.

“Kena ikut SOP yang telah ditetapkan. Malah semua urusan solat ini juga perlu dilakukan dalam masa 20 minit,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di JKR10, di sini hari ini.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Kelantan membenarkan jemaah solat Jumaat ditambah kepada 40 orang berbanding sebelum ini hanya 12 individu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, kebenaran tersebut berkuat kuasa pada 5 Jun ini.

Beliau berkata, Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan selaku Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan telah memperkenankan solat Jumaat di negeri ini dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan ia terkawal sebagai langkah membendung penularan koronavirus (Covid-19).

SH

(Visited 96 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!