Fokus menang pertempuran ini

Share

Sehingga kini kita masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Mungkin kita berada pada penghujung PKPB kerana banyak institusi dan organisasi telah diberi kebenaran secara berperingkat oleh pihak berkuasa untuk beroperasi. Semestinya ia dibenarkan dengan syarat-syarat yang wajib dipatuhi.

“Sehingga artikel ini ditulis, serangan Covid-19 telah mencecah sebanyak 6,366,197 kes dengan kematian sebanyak 377,437 kes di seluruh dunia. Daripada jumlah keseluruhan jangkitan ini, sebanyak 3,084,996 kes adalah berstatus aktif atau 48.69 peratus. Jangkitan harian melebihi 100,000 kes sehari untuk tempoh seminggu terakhir ini menampakkan trend seluruh dunia masih belum menguncup.”

Namun, alhamdulillah, usaha bersungguh-sungguh pihak yang bertanggungjawab telah menampakkan hasil.

Sememangnya, jumlah kerugian sebanyak RM2.4 billion sehari sepanjang tempoh PKP bagi Malaysia adalah jumlah yang besar. Benar, harga nyawa adalah lebih mahal daripada wang ringgit, maka kerana itulah pihak berkuasa telah mengambil inisiatif dan usaha bersungguh-sungguh sehinggalah kita berada pada tahap dan kedudukan sekarang ini.

Saya ingin mengucapkan syabas, terima kasih dan tahniah kepada pihak berkuasa atas pencapaian ini. Sungguhpun begitu, winter is coming.

Berdasarkan kedudukan jangkitan Covid-19 pada peringkat global dan kesan berangkai telah menyebabkan lebih 32 juta rakyat Amerika Syarikat kehilangan pekerjaan, hotel-hotel di seluruh dunia banyak ditutup, industri penerbangan dunia kerugian hampir AS$500 bilion, kilang-kilang di China tidak mendapat tempahan sungguhpun telah dibuka sejak serangan Covid-19 dan banyak lagi kesan-kesan lain yang bakal berlaku.

Benar, winter is coming. Keadaan yang mencabar dan sukar adalah dijangka. Jadi, persediaan untuk menghadapi situasi itu perlu diutamakan. Kita lihat bagaimana Nabi Yusuf AS menyediakan kerajaan Mesir dengan menanam dan menyimpan sebahagian hasil tanaman selama tujuh tahun sebagai persediaan menghadapi musim mencabar sebagaimana bacaan Nabi Yusuf A.S. kepada mimpi sang raja (Rujukan Fawa’id Mustanbithoh Min Qissoh Yusof karangan Sheikh Abdul Rahman Bin Nasir As-Sa’di, halaman 16).

 

Iktibar

Dalam neraca Malaysia, saya rasa sudah tiba masanya kita fokus kepada menguatkan perpaduan negara dengan tidak lagi mengganggu gugat kestabilannya. Tidak perlu lagi menimbulkan ketidakpastian dalam kestabilan politik negara.

Ambil iktibar atas pengalaman selama 21 bulan yang jatuhnya disebabkan oleh kemelut perebutan kuasa tertinggi sebagai Perdana Menteri. Yang turut menyebabkan ketidakstabilan ekonomi, keamanan negara yang tergugat dan perpaduan negara yang terobek. Semuanya berpunca daripada kemelut perebutan jawatan oleh parti-parti yang tidak bertanggungjawab.

Tidak usahlah mencabar lagi ketenangan sementara (rihun toyyib) kita ketika ini dengan pertelingkahan politik tidak bertanggungjawab kerana kita tidak tahu bilakah dugaan mencabar (rihun ‘asif) bakal tiba.

Ingat pesan ALLAH SWT dalam al-Quran Surah Yunus, ayat 22 yang bermaksud:

“Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan pelbagai jenis kenderaan) sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpangnya dengan tiupan angin yang baik dan mereka pun bersukacita dengannya, tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya. Pada saat itu mereka berdoa kepada ALLAH dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepada-Nya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! Jika Engkau (Ya ALLAH) selamatkan kami daripada bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur.”

Marilah kita berganding bahu bekerjasama berusaha sedaya upaya untuk menghadapi ujian-ujian yang bakal menjelma. Yang baik kita tegakkan, yang senget kita betulkan, yang salah kita halang dan yang benar kita sokong.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

SH

(Visited 79 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!