Video tular polis tendang suspek, dah lari dari polis siapa suruh?

Share

Jalan siasatan susulan video tular polis tendang suspek

Polis tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) sewaktu menjalankan tugas.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dalaman berhubung video yang tular di media sosial yang menunjukkan anggotanya menendang suspek berhampiran Tasik Ampang Hilir, semalam.

Katanya, siasatan sedang dijalankan untuk memastikan tiada sebarang pelanggaran SOP berlaku ketika proses tangkapan dibuat.

Mengulas mengenai tangkapan itu, Mazlan berkata, kejadian itu berlaku jam 4.45 petang apabila sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menjalankan penugasan pemantauan keselamatan dan pematuhan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di sekitar kawasan Jalan Genting Klang.

“Ketika menjalankan rondaan di hadapan stesen minyak di Jalan Genting Klang terlihat dua lelaki menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan.

“Polis bertindak mendekati dan cuba menahan suspek untuk pemeriksaan lanjut namun mereka tidak mengendahkan arahan untuk berhenti dan terus memecut laju menuju ke Jalan Ampang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis bertindak mengekori dan mengejar motosikal suspek dan mengarahkan untuk berhenti tetapi kedua suspek enggan mematuhi arahan dan menunjukkan isyarat tangan seolah-olah mencabar.

“Perbuatan suspek itu bukan hanya membahayakan diri mereka sendiri malah turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

“Sebaik tiba di susur keluar Jalan Ampang berhampiran Tasik Ampang Hilir, suspek bertindak menunggang melawan arus sebelum hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan,” katanya.

Katanya, ketika melakukan tangkapan, suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan dengan polis sebelum menahan salah seorang daripada mereka, sementara pembonceng melepaskan diri terjun ke dalam longkang besar di tepi jalan.

“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif syabu dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurut Mazlan, suspek juga memiliki 2 rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan narkotik dan dikehendaki kes pecah rumah di Ampang.

“Suspek ditahan reman 4 hari bermula hari ini hingga 5 Jun untuk siasatan lanjut.

Beliau juga meminta kerjasama orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini segera menyalurkannya kepada polis.

FMT

(Visited 3,796 times, 14 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!