Mahathir mahu ambil tindakan terhadap Muhyiddin dan 6 lagi.

Share

Selain Muhyiddin, 6 MP Bersatu kini jadi sasaran Dr M

Pengerusi Bersatu yang dipertikai jawatannya, Dr Mahathir Mohamad dan penyokongnya dari parti itu kini menyasarkan sasaran bukan sahaja kepada presiden Muhyiddin Yassin, tetapi enam penyokongnya.

Mereka yang kini berdepan usaha penyingkiran daripada Bersatu dalam satu kenyataan bersama, berkata Muhyiddin dan enam ahli Parlimen lagi telah melanggar etika parti dan perlu dikenakan tindakan.

“Perbuatan Muhyiddin dan enam ahli Parlimen lain yang menyatakan keluar daripada PH jelas melanggar perlembagaan parti kerana tiada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi untuk keluar daripada PH.

“Maka, Muhyiddin dan enam (6) lagi ahli Parlimen tersebut telah melanggar etika parti dan wajar dihadapkan ke lembaga disiplin,” kata mereka.

Kenyataan itu ditandatangani Mahathir (Langkawi), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Maszlee Malik (Simpang Renggam).

Bersatu yang kini dikawal oleh kem Muhyiddin, pada 28 Mei lalu mengeluarkan surat memaklumkan keahlian mereka “dihentikan serta-merta” kerana duduk di blok pembangkang ketika sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menamakan enam ahli Parlimen yang dimaksudkan.

Mereka juga menegaskan perlucutan keahlian mereka tidak sah.

Mereka disingkirkan berdasarkan Fasal 10.2.2 dan Fasal 10.2.3 perlembagaan Bersatu yang menyatakan keanggotaan ahli terbatal jika mengisytiharkan keluar parti atau menyertai parti lain.

Mahathir dan enam penyokongnya berkata keengganan menyokong kerajaan Muhyiddin tidak bermaksud meninggalkan parti.

“Kami tidak pernah mengisytiharkan keluar daripada parti mahupun menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti politik lain di negara ini. Pilihan kami untuk tidak menyokong kerajaan Muhyiddin atau Perikatan Nasional tidak bermakna keluar parti.

“Surat pemakluman oleh Kapten (B) Suhaimi Yahya atau apa-apa pernyataan oleh individu lain, sekalipun ianya datang dari seorang perdana menteri, tidak boleh mengubah fakta bahawa perlucutan keahlian kami adalah salah di sisi perlembagaan parti dan undang-undang dan berniat jahat.”

Mereka berkata Fasal 6 perlembagaan Bersatu, yang merujuk kepada tujuan dan matlamat parti, adalah memperkasa agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa serta mewujudkan amalan tadbir urus yang baik.

“Tidak ada sebarang pertuduhan terhadap kami melakukan apa-apa yang bercanggah dengan agenda parti,” kata mereka.

Mereka menggesa ahli Bersatu agar berpegang teguh kepada slogan parti iaitu “Bersatu, Beramanah dan Bermaruah”.

“Kerajaan yang ada sekarang bukan pilihan rakyat. Kerajaan yang sah dan hak adalah PH…Janganlah tunduk kepada kepentingan diri seperti yang ditunjuk oleh Muhyiddin,” kata mereka lagi.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac lalu, setelah Mahathir enggan mengetuai gabungan baru yang merangkumi Bersatu, BN, PAS, GPS, PBS and Star.

Tida lama sebelum itu, Muhyiddin membawa keluar Bersatu daripada PH yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH selepas mentadbir negara sejak Mei 2018.

Mahathir membayangkan hasratnya untuk membawa kembali Bersatu ke dalam PH tetapi pada masa ini, Muhyiddin dilihat mempunyai kelebihan dalam parti itu.

Mkini

Leave a Reply