‘Jangan sewenang-wenang cabar mahkamah syariah’

Pastikan undang-undang Islam dihormati, disegani dalam Malaysia

BANGI, 10 Syawal 1441H, Selasa – Peruntukan kesalahan jenayah syariah sedia ada sudah memadai untuk mendidik masyarakat Islam mengenai perkara salah dan berdosa di sisi agama.

Pensyarah Kanan Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Ramizah Wan Muhammad berkata, apa yang perlu ditingkatkan ketika ini ialah penguatkuasaan dan pentadbiran agama Islam.

Selain itu, boleh juga memperkasakan hukuman terhadap pesalah jenayah syariah, penggunaan teknologi dan isu berkaitan, katanya.

“Justeru, masyarakat tidak sepatutnya sewenang-wenang cuba mencabar mahkamah, terutama mahkamah syariah dalam isu bidang kuasa lebih-lebih lagi jika orang Islam melakukannya,” katanya dalam artikel yang disiarkan BH Online, hari ini.

Beliau menegaskan, peruntukan dalam enakmen kesalahan jenayah syariah negeri dan juga akta kesalahan jenayah syariah di Wilayah Persekutuan telah dibuat bersumberkan Perlembagaan Persekutuan, iaitu Jadual Kesembilan Senarai II. 

Katanya, istilah ‘precepts’ atau perintah agama menjadi kata kunci untuk kerajaan negeri membuat peruntukan undang-undang kesalahan jenayah syariah.

“Maksud istilah ini sebenarnya sangat luas, tetapi agak terhad dalam konteks undang-undang Islam di negara ini. Secara umum perintah agama Islam adalah berkait rapat dengan akidah, ibadat dan akhlak orang Islam. 

“Selain ketiga-tiga perkara itu, perintah agama juga boleh termasuk segala bentuk maksiat yang jelas dalam al-Quran dan sunnah terhadap larangan dan dosa atas perbuatan berkenaan seperti berjudi, berzina, minum arak dan liwat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap jenis jenayah syariah yang ada dalam peruntukan negeri bersesuaian dengan objektif penubuhan institusi Islam di negara ini.

“Objektif penubuhannya adalah bagi melindungi akidah umat Islam serta memastikan mereka hidup berlandaskan ajaran dan prinsip Islam, sekali gus maqasid (tujuan) syariah dapat dihidupkan.

“Perlu diingatkan semua kesalahan jenayah syariah itu, hukumannya hanya denda RM5,000, penjara tidak lebih tiga tahun dan sebatan tidak melebihi enam kali.

“Dari segi undang-undang, tidak semua ketiga-tiga hukuman dijatuhkan tetapi dipilih, sama ada dua atau satu hukuman sahaja,” katanya.

Justeru, Dr Ramizah mengingatkan, sebagai rakyat Malaysia dan orang Islam di negara ini, perlu menggunakan dahulu apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan dan peruntukan sedia ada.

“Pada masa sama beri yang terbaik untuk menjadikan undang-undang Islam dan institusi dihormati dan disegani masyarakat Malaysia,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker