Muhyiddin atur pertemuan ‘mengejutkan’ di rumah Dr M – Akhramsyah

Share

Pertemuan di kediaman bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad pada petang 23 Februari lalu menarik perhatian selepas gambar mengenainya muncul di media sosial semalam.

Foto itu menunjukkan Mahathir duduk bersama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi GPS, Abang Johari Openg; Ketua whip GPS, Fadillah Yusof; Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin; Presiden Warisan, Shafie Apdal; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali (kini bekas timbalan) dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Penyokong Perikatan Nasional (PN) mendakwa ini adalah bukti bekas perdana menteri itu menyokong usaha membawa keluar Bersatu dari Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk gabungan kerajaan baru.

Anggota majlis tertinggi Bersatu, Akhramsyah Sanusi bagaimanapun berkata pertemuan itu diatur oleh Muhyiddin setelah gagal meyakinkan Mahathir untuk keluar daripada PH pada mesyuarat parti sebelumnya.

“Selepas mesyuarat (Bersatu), Muhyiddin kemudian membuat kejutan kepada Tun dengan memaklumkan kepadanya bahawa pemimpin parti-parti Melayu sedang menunggu Tun di rumahnya.

“Saya tahu setelah 6 jam perjumpaan di HQ Bersatu di mana dia gagal meyakinkan Tun untuk meninggalkan PH, Muhyiddin dengan Zahid, Hadi dan yang lain gagal meyakinkan Tun di rumahnya walaupun setelah hampir 2 jam berbincang.

“Mereka meninggalkan rumah Tun selepas menyangka akan berjaya dan membuat temujanji untuk bertemu Agong. Kami tidak tahu apa yang mereka maklumkan kepada Agong,” kata Akhramsyah kepada Malaysiakini.

Beliau berkata, Muhyiddin dan yang lain kemudian meneruskan ‘Langkah Sheraton’ walaupun Mahathir tidak bersama mereka.

Katanya, bekas perdana menteri tidur lebih awal sekitar jam 10 malam dan perkara itu diketahuinya ketika berusaha meyakinkan para pemimpin PH bahawa Mahathir tidak terlibat dalam rancangan itu.

Beliau berkata Mahathir memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Bersatu keesokan harinya selepas melihat Muhyiddin dan pemimpin Bersatu lain mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan kepadanya untuk memutuskan apakah parti itu harus keluar daripada PH.

“Tun tidak merancang ini. Tun tidak memberikan restu.Tun menentang idea ini untuk meninggalkan PH tanpa termakan hasutan sejak awal,” kata Akramsyah.

Pengerusi Bersatu yang kini dipertikaikan kedudukan itu sebelum ini berkata beliau tidak melihat alasan parti itu harus meninggalkan PH setelah gabungan itu memutuskan untuk memberikan kepercayaan kepadanya dalam mesyuarat pada 21 Februari bagi menentukan bilakah beliau akan mengundurkan diri sebagai perdana menteri.

Pemimpin Bersatu yang menyokong Muhyiddin, bagaimanapun menegaskan majlis tertinggi parti itu bersetuju untuk keluar daripada PH pada 23 Februari, dan ini merupakan keinginan Mahathir sendiri.

Langkah Sheraton mencetuskan krisis politik selama seminggu yang berakhir dengan Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri.

Khamis lalu, Mahathir dan empat yang lain dilucutkan keanggotaan parti atas alasan duduk di blok pembangkang semasa persidangan parlimen pada 18 Mei.

Mereka bagaimanapun mempertikaikan tindakan itu.

MK

(Visited 2,194 times, 2 visits today)

One thought on “Muhyiddin atur pertemuan ‘mengejutkan’ di rumah Dr M – Akhramsyah

  • May 31, 2020 at 13:30
    Permalink

    cakap banyak pun tak guna, suruh madey kutty bersumpah kata tak suruh & tak sebut sikit pun suruh TSMY & yang lain cari cara bagaimana nak keluar dari ph & pastikan anwar tak dapat jadi PM ke 8

    Reply

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!