Malaysia memilih semula

Share

GELORA politik yang berlaku beberapa hari lepas menunjukkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin mempunyai pilihan yang sangat terhad untuk menstabilkan kerajaan.

Selepas sidang Parlimen sehari 18 Mei lalu, Pakatan Harapan (PH) mendakwa mereka kini mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu. Dakwaan itu walaupun belum dibuktikan secara tuntas, namun telah membuka polemik yang berterusan.

Sebarang perubahan tiga orang ahli Parlimen blok kerajaan sahaja akan menyebabkan Perdana Menteri kehilangan sokongan majoriti. Sedikit sahaja masalah dan pertikaian dalam blok kerajaan akan menyebabkan kerajaan ini tumbang.

Peristiwa politik beberapa hari lalu adalah satu contoh terbaik bagaimana menguruskan kerajaan hari ini tidak ubah seperti proses rundingan tebusan.

Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa PH mempunyai sokongan majoriti, Bersatu mengambil keputusan ‘memecat’ keahlian lima ahli Parlimennya.

Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Amiruddin Hamzah, Dr Maszlee Malik dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ditamatkan keahlian.

Sehari kemudian Dr Mahathir mencabar pemecatan tersebut dengan hadir ke ibu pejabat Bersatu. Dalam masa yang sama tersebar berita seorang Menteri dan beberapa Timbalan Menteri akan meletak jawatan.

Selepas kegagalan sidang akhbar seorang ‘menteri’ tersebut diadakan, keadaan mungkin akan tenang seketika. Namun ancaman terhadap kestabilan kerajaan akan berterusan.

Sebenarnya dalam keadaan pandemik sekarang kita memerlukan pengorbanan semua pemimpin politik terutama ahli Parlimen untuk menggunakan hak-hak mereka secara waras dan bertolak ansur buat sementara waktu. Malangnya kewarasan sebahagian ahli Parlimen bukan pilihan. Justeru, pilihan Muhyiddin sangat terhad.

Pertama, beliau boleh cuba menambah sokongan ahli Parlimen kepada kerajaan sedia ada. Untuk menstabilkan kerajaan ini, Muhyiddin memerlukan sokongan antara 120-125 orang ahli Parlimen sebelum sidang Dewan Rakyat akan datang.

Tanpa penambahan sokongan ahli Parlimen, Muhyiddin berjalan atas titian yang sangat rapuh. Sebarang ‘ketidakhadiran’ atau ‘keingkaran’ beberapa orang ahli Parlimen blok kerajaan boleh menyebabkan usul perbelanjaan tambahan kerajaan akan gagal.

Jika ini berlaku maka Muhyiddin tiada pilihan kecuali memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti dan memohon pembubaran Parlimen.

Pilihan kedua ialah membubarkan Parlimen pada penghujung tahun ini. Jika pun kerajaan melepasi cabaran Dewan Rakyat Julai nanti, isu perubahan sokongan ini akan sentiasa menjadi duri dalam daging kepada Muhyiddin.

Sebahagian orang mungkin tidak bersetuju dengan pilihan raya baharu berikutan pandemik Covid-19. Namun kestabilan kerajaan juga penting bagi memulihkan ekonomi dalam jangka masa panjang.

Korea Selatan telah menjalankan PRU mereka pada April lalu dengan jayanya tanpa sebarang kes jangkitan Covid-19.

Mungkin sudah tiba masanya Malaysia memilih semula.

* Abd Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Leave a Reply