Padah ‘lepak’ tak jaga jarak sosial

SERAMAI 57 individu dikompaun selepas didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila ‘melepak’ tanpa menjaga penjarakan sosial di tiga premis di Jalan Bundusan di Penampang, semalam.

Dalam operasi bermula 9.15 malam itu, sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang melakukan serbuan di tiga premis dan mengeluarkan kompaun terhadap semua individu berusia 20 hingga 50 tahun kerana tidak mematuhi arahan PKPB.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, tangkapan awal membabitkan tiga lelaki yang bekerja sebagai penjaga premis.

Katanya, polis turut menahan 40 pelanggan lelaki dan 14 pelanggan wanita kerana melanggar PKPB.



“Semua individu berkenaan ditahan kerana berkumpul di premis tanpa menjaga penjarakan sosial iaitu sekurang-kurangnya satu meter setiap seorang.

“Semua individu terbabit dibawa ke IPD Penampang bagi tujuan dokumentasi dan tindakan pengeluaran kompaun kerana didapati melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (LLDKJ)(No 6) 2020,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihati orang ramai khususnya di daerah itu supaya sentiasa mematuhi prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berhimpun dan sentiasa mematuhi SOP PKPB termasuklah menjaga penjarakan sosial iaitu sekurang-kurangnya satu meter.



“Polis Penampang sentiasa menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap sesiapa yang melanggar peraturan dan SOP PKPB ini,” katanya.

HM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker