Lokasi baru penularan rabies di Sarawak

Share

KETIKA kebimbangan masih berterusan akibat pandemik Covid-19 ketika ini, Sarawak dikejutkan pula dengan pengisytiharan satu lagi kawasan wabak rabies atau penyakit anjing gila, hari ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kawasan terbabit ialah Kampung Tian, Matu dalam Bahagian Mukah.

Katanya, kampung terbabit diletakkan dalam kawasan wabak penyakit berkenaan selepas sampel daripada anjing di kawasan itu yang diambil baru-baru ini didapati positif.

“Berikutan kawasan Kampung Tian berada di luar 10 kilometer radius daripada kawasan yang diisytiharkan wabak rabies sebelum ini, maka kampung diisytiharkan sebagai kawasan yang ke-64 wabak rabies di Sarawak.

“Kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak rabies sebelum ini iaitu tujuh di Kuching, Sri Aman (5), Sibu (2), Miri (6), Sarikei (5), Kapit (1), Bintulu (4), Samarahan (4), Betong (3), Serian (22) dan Mukah (5),” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 Sarawak di Petra Jaya, hari ini.

Penularan wabak rabies yang memasuki tahun keempat di Sarawak selepas diisytiharkan pada 1 Julai 2017 kini meragut 23 nyawa dengan mangsa terakhir membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang meninggal dunia di Sibu pada 26 Mac lalu.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, pada 25 Mei lalu, satu lagi laporan gigitan anjing dilaporkan di Sibu, juga membabitkan kanak-kanak berusia lima tahun.

“Keputusan ujian pada 27 Mei 2020 melalui ujian Antigen Rapid Rabies Ag Test menunjukkan anjing peliharaan keluarga mangsa adalah positif rabies,” katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Sarawak, Uggah berkata, tiada kes baharu dilaporkan di negeri ini, hari ini menjadikan jumlah kes Covid-19 kekal sebanyak 552 kes.

Selain itu, katanya, 13 pesakit disahkan sembuh dan discaj dari hospital hari ini dengan kesemuanya dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Setakat hari ini, jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang disahkan sembuh dan discaj ialah seramai 499 orang,” katanya.

HM

(Visited 47 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!