Kantoi sembunyi rokok seludup dalam treler

Share

TINDAKAN seorang lelaki menyembunyikan rokok seludup dalam treler dipandunya gagal mengaburi pihak berkuasa apabila dia ditahan di Jalan Tawau – Kalabakan dekat Tawau, semalam.

Lelaki tempatan berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) hasil maklumat dan risikan, kira-kira 4 petang.

Difahamkan, treler berkenaan dalam perjalanan pulang selepas menghantar sawit ke sebuah kilang pemprosesan dekat Tawau sebelum ditahan JKDM.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar, berkata hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas treler itu menemui beberapa kotak dibalut plastik hitam mengandungi pelbagai jenis dan jenama rokok yang disorok di bahagian bawah treler berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati kesemua rokok seludup itu bernilai RM29,120 dan jumlah cukai RM104,288.

“Pemandu treler direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(a) akta sama.

HM

(Visited 51 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!