Dakwaan GPS sokong Tun M kembali berkuasa kerja gila – Wan Junaidi

Share
Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, 29 Mei — Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menempelak seorang blogger yang cuba menggugat kestabilan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan menyebarkan khabar angin kononnya Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah beralih arah untuk menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya tindakan pihak yang mengaitkan GPS dengan cubaan bekas perdana menteri itu untuk kembali berkuasa itu sebagai kerja gila dan tidak berasas kerana GPS merupakan sebuah gabungan politik yang berstruktur dan sangat berdisiplin.

“Kita di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak dan Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sentiasa mempunyai satu suara. Jadi saya tak percaya langsung Ahli Parlimen GPS boleh ditarik macam jual kambing, jual ayam, jual lembu,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan tinjauan projek parit di Kampung Tabuan Selipar Putus di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi seorang blogger sejak dua hari lepas yang mendakwa sehingga 129 Ahli Parlimen, termasuk 18 dari GPS, telah menyatakan sokongan mereka kepada Dr Mahathir bagi membolehkan beliau kembali menjadi Perdana Menteri.

“Mungkin 129 (Ahli Parlimen) ini ialah jumlah apabila GPS menyokong Tun M (Mahathir) sebelum kita berpindah kepada (menyokong) Muhyiddin dulu. Jumlah itu tak pakai lagi dah, kita bila sudah sokong Muhyiddin kita tak fikir nak pindah sokongan kepada mana-mana lagi dah,” kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu.

Sebelum ini, Abang Johari telah menyatakan pendirian GPS untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin adalah atas dasar untuk memastikan keadaan politik negara kembali stabil, di samping meneruskan tuntutan mendapatkan kembali hak-hak Sarawak yang terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Sewaktu kemuncak kemelut politik di peringkat persekutuan dalam bulan Mac lepas, Abang Johari berkata GPS tidak dapat meneruskan sokongan mereka kepada Tun Mahathir berikutan pendiriannya yang tidak menentu selepas meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

— BERNAMA

(Visited 588 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!