Tiada Lagi Esok Bagi Tun Mahathir & 4 Pengekornya

Dalam kenyataan media mereka, YB Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, YB Dato’ Seri Utama Hj Mukhriz Mahathir, YB Syed Saddiq bin Syed Rahman, YB Dr. Maszlee bin Malik dan YB Dato’ Wira Hj Amiruddin bin Hj Hamzah menyatakan bahawa:

(1) “Kami langsung tidak bersetuju bahawa keahlian kami terhenti secara serta-merta apatah lagi ianya bertentangan dengan undang-undang serta juga menafikan hak kami untuk membela diri dan memberi penjelasan, yakni hak yang dijamin di bawah prinsip kedaulatan undang-undang.”

(2) “Pihak kami tidak menerima pemecatan salah ini yang jelas bertentangan dengan undang-undang dan merizabkan hak untuk mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan bukan sahaja untuk diri kami tetapi untuk memastikan kemaslahatan ahli-ahli akar umbi BERSATU.”

Penegasan mereka berlima bahawa keputusan ini bertentangan dengan undang-undang serta juga menafikan hak mereka berlima untuk membela diri dan memberi penjelasan, yakni hak yang dijamin di bawah prinsip kedaulatan undang-undang adalah tidak benar sama sekali kerana ia memang selaras dengan undang-undang. Perlembagaan BERSATU hanya memperuntukkan hak untuk membela diri dan memberi penjelasan kepada kes pengenaan tindakan disiplin oleh Lembaga Disiplin sahaja, bukannya kepada kes keahlian terhenti secara serta-merta (automatik).

Mereka berlima menyatakan bahawa mereka hanya melaksanakan apa yang dibenarkan oleh undang-undang dan hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan selaku Ahli Parlimen yang sah bila mengambil kedudukan di Parlimen pada 18 Mei 2020 sebagai wakil rakyat yang tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional, tetapi mereka perlu sedar bahawa tindakan mereka ini juga telah melanggar Perlembagaan BERSATU yang merupakan satu undang-undang yang sah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Mereka berlima, khususnya YB Tun Dr. Mahathir yang bertanggungjawab memasukkan Seksyen 18C ke dalam Akta Pertubuhan 1966 bagi memastikan tindakan beliau selaku Presiden UMNO tidak dicabar di mahkamah, seharusnya tahu bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 ini memperuntukkan bahawa:
“Keputusan sesuatu parti politik atau mana-mana orang yang diberikuasa olehnya atau oleh perlembagaannya atau kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya tentang pentafsiran perlembagaan, kaedah-kaedah atau peraturan-peraturannya atau tentang apa-apa perkara yang berhubungan dengan hal ehwal parti itu adalah muktamad dan konklusif dan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan, dan tiada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk melayani atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan, soal atau prosiding atas apa-apa alasan berkenaan dengan keesahan keputusan itu.”

Di dalam bahasa yang mudahnya, mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 ini, apa-apa sahaja keputusan sesuatu parti politik atau mana-mana orang yang diberikuasa olehnya adalah muktamad dan konklusif dan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

Sepertimana YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu dilucutkan keahlian UMNO beliau pada 24 Jun 2016 menghormati undang-undang dengan tidak mencabar, merayukan, mengkaji semula, membatalkan atau mempersoalkan keputusan ini di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan kerana akur dengan peruntukan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 ini maka mereka berlima, khususnya YB Tun Dr. Mahathir, juga perlulah akur dengannya.

Pada 27 April 2018 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggunapakai peruntukan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 ini untuk menolak permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan oleh 16 ahli UMNO dengan memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayani atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan, soal atau prosiding atas apa-apa alasan berkenaan dengan keesahan keputusan sesuatu parti politik atau mana-mana orang yang diberikuasa olehnya. Cubaan peguam kepada 16 ahli UMNO ini, iaitu Muhammad Haniff Khatri Abdulla, untuk menghujahkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa berdasarkan keputusan kes-kes Semenyih Jaya Sdn Bhd dan Indira Gandhi juga gagal kerana mahkamah menyatakan ia tidak terpakai kepada parti politik.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini malah dipersetujui oleh Mahkamah Rayuan yang secara sebulat suara menyatakan bahawa ia tidak mempunyai sebarang alasan untuk menganggu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 memang menetapkan bahawa apa-apa sahaja keputusan sesuatu parti politik atau mana-mana orang yang diberikuasa olehnya adalah muktamad dan konklusif dan keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

Tidak dinafikan bahawa 16 ahli UMNO ini sedang membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan di mana rayuan ini dijadualkan akan didengar pada 26 Oktober 2020, tetapi sehingga Mahkamah Persekutuan menterbalikkan keputusan-keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini, yang dijangkakan amat tipis untuk berlaku, maka status quo adalah kekal, iaitu bahawa keputusan sesuatu parti politik atau mana-mana orang yang diberikuasa olehnya tidak boleh dicabar, dirayukan, dikaji semula, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

Percayalah, walau apa sahaja pun kenyataan dan tindakan yang akan mereka berlima buat dan lakukan selepas ini, sudah tiada esok bagimu lagi untuk mereka berlima, termasuk YB Tun Dr. Mahathir.

Percayalah juga bahawa yang sebenarnya bersikap diktator bukanlah YAB Tan Sri Muhyiddin tetapi adalah YB Tun Dr. Mahathir yang memperkenalkan peruntukan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 ini.

You reap what you sow (apa yang kamu tanam itu yang kamu tuai).

Dr. Kamarul Yusoff

Related Articles

One Comment

  1. a taste of your own medicine, it serves you right & good riddance buat madey kutty & 4 penjilatnya

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker