MARii, Sengenics bangunkan kit ujian COVID-19 kualitatif dan kuantitatif pertama di dunia

KUALA LUMPUR, 29 Mei — Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bekerjasama dengan Sengenics Sdn Bhd untuk membangunkan ‘ImmuSAFE™’, kit ujian COVID-19 kualitatif dan kuantitatif pertama di dunia untuk aplikasi industri.

MARii berkata pihaknya telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sengenics meliputi pembangunan dan pengkomersialan produk, perkhidmatan dan teknologi berkaitan sistem pengurusan kesihatan serta kadar diagnosis yang lebih cekap bagi penyakit berjangkit dan tidak berjangkit dalam industri dan bidang komersial.

“Ciri penting dalam pemeteraian MoU itu ialah mendokong usaha pembangunan ImmuSAFETM, kit ujian antigen kualitatif dan kuantitatif COVID-19 pertama dunia bagi mengesan dan mengira kadar perlindungan antibodi SARS-CoV2 dalam diri seseorang,” menurut kenyataan bersama mereka di sini hari ini.

Katanya keputusan yang dijana ImmuSAFE adalah kuantitatif sepenuhnya, membolehkan ukuran kehadiran atau ketiadaan antibodi, dan juga penentuan tahap antibodi, yang penting untuk memastikan kadar antibodi dalam diri seseorang mampu menjadi pelindung selepas jangkitan berlaku.



Ini membawa impak luas bagi industri dan kilang apabila pesakit pulang semula ke tempat kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii Datuk Madani Sahari berkata situasi COVID-19 telah mengajar kita bahawa penularan wabak bukan sahaja menghentikan kehidupan seharian, malah menunjukkan kepentingan industri kepada ekonomi.

“Dalam era pendigitalan, teknologi digital dan sektor kesihatan perlu mula digandingkan bagi melindungi kesihatan dan keselamatan semua.

“MoU ini bukan hanya penting dalam menangani wabak COVID-19, malah menjadi detik penting dalam pembangunan produk perubatan baharu, perkhidmatan berasaskan teknologi IoT (Internet of Things), dan pengumpulan maklumat tepat yang dapat dilakukan melalui pengurusan data raya,” katanya.



Madani turut menjelaskan bahawa Sengenics telah berjaya menghasilkan antigen rekombinan berfungsi daripada virus SARSCoV2 di dalam makmal, yang membuka peluang kepada pembangunan vaksin tempatan.

“Kejayaan program pembangunan vaksin tempatan mampu meningkatkan keupayaan negara membasmi penularan wabak, dan tidak bergantung kepada vaksin yang diimport bagi jutaan rakyat Malaysia yang memerlukan vaksin apabila siap dibangunkan kelak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Sengenics Johan Hafiz Iskandar, berkata: “Kami gembira untuk bekerjasama dengan pasukan MARii dalam mendokong inisiatif untuk mengurangkan impak ekonomi akibat wabak COVID-19, dan bersedia untuk menggabungkan kepakaran diagnostik dengan penyelesaian penjagaan kesihatan masa nyata dan canggih di peringkat industri dan kilang.”

— BERNAMA



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker