Kerajaan pertimbang beri suntikan fiskal dalam pelan pemulihan ekonomi

Kerajaan mempertimbangkan untuk memberi suntikan fiskal di dalam pelan pemulihan ekonomi jangka pendek dan sederhana sebagaimana yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pada masa ini pihaknya sedang melihat sebarang kemungkinan dan turut mengadakan perjumpaan bersama pihak berkepentingan dengan melibatkan semua kementerian.

“Kita tunggu dululah pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri. Kita kena lihat dari semua sudut termasuk stimulus kewangan.

“Saya rasa suntikan fiskal ini kena lihat dari keadaan semasa. Negara-negara lain juga telah membuat suntikan fiskal, Malaysia juga telah buat suntikan fiskal sebanyak RM35 bilion melalui pakej prihatin,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, Tengku Zafrul mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Bank Simpanan Nasional (BSN) di ibu negara.

Ia merupakan lawatan sulong beliau ke institusi kewangan tersebut selepas dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Beliau turut mengadakan telesidang dengan kakitangan bank tersebut di seluruh negara bagi mendapatkan pandangan mengenai situasi semasa.

Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan bekerjasama dengan pihak swasta dalam usaha untuk membangunkan semula ekonomi selepas negara berdepan dengan masalah pandemik Covid-19 dan usaha itu perlu dilakukan bersama.

Katanya, kerajaan akan membangunkan pelan yang dinamik untuk rakyat dan semua itu kena dilakukan dalam masa yang pantas. – MalaysiaGazette

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker