Bursa Malaysia teruskan aliran meningkat

Share
FTSE Bursa Malaysia KLCI dijangka meningkat beberapa mata lagi hari ini selepas penanda-penanda aras saham AS utama melonjak pada Rabu.
KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia meneruskan momentum kenaikan semalam untuk dibuka tinggi pagi ini di tengah-tengah sentimen pasaran yang positif dengan pembelian dilihat di kaunter berkaitan indeks terpilih dan saham bermodal kecil.

Pada 9.05 pagi, penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 4.87 mata kepada 1,456.6 daripada 1,451.73 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks itu dibuka 1.8 mata lebih baik kepada 1,453.53.

Public Investment Bank Bhd, menerusi nota penyelidikannya berkata, FBM KLCI dijangka meningkat beberapa mata lagi hari ini selepas penanda-penanda aras saham AS utama melonjak pada Rabu.

Prestasi saham di AS itu dicatatkan susulan pelabur memberi perhatian kepada usaha pembukaan semula lebih banyak negeri bagi menggerakkan semula perniagaan walaupun keadaan ekonomi AS yang teruk dan memuncaknya ketegangan di antara Beijing dengan Washington, menurutnya.

“Indeks utama dijangka berada dalam aliran sekitar paras 1,455 dengan sedikit kecenderungan meningkat pada jangka pendek.

“Paras sokongan untuk indeks itu adalah pada 1,360; 1,400 dan 1,430, manakala paras rintangan berada di 1,455; 1,485 dan 1,515,” kata Public Invesment.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 238 berbanding 163, sementara 226 kaunter tidak berubah, 1,268 kaunter tidak diniagakan dan 57 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 478.12 juta unit bernilai RM242.68 juta.

Bagi kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank naik dua sen kepada RM15.26, Petronas Chemicals menokok satu sen kepada RM6.06 manakala IHH dan Maxis masing-masing menambah empat sen kepada RM5.49 dan RM5.35.

Bagaimanapun Maybank dan Tenaga masing-masing kekal tidak berubah pada RM7.40 dan RM12.20.

Antara saham paling aktif, Lambo dan Key Alliance masing-masing naik setengah sen kepada 2.5 sen dan sembilan sen, XOX tidak berubah pada 6.5 sen, GD Express turun setengah sen kepada 39.5 sen dan Berjaya Corp meningkat satu sen kepada 20.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 48.47 mata kepada 10,352.29, Indeks FBMT 100 menambah 49.97 mata kepada 10,200.36, FBM 70 melonjak 128.35 mata kepada 13,065.81 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 73.34 mata kepada 11,927.17.

FBM ACE bagaimanapun turun 5.4 mata kepada 5,546.34.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.23 mata kepada 126.62, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 15.15 mata kepada 12.365.48 namun Indeks Perladangan turun 36.3 mata kepada 6,771.38. – Bernama

(Visited 30 times, 2 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!