BERSATU Patut Bubar, Ahli Perlu Cari Parti Lain

BERSATU wajar dibubarkan dan ahli-ahlinya perlu mencari parti yang lebih stabil dan relevan dalam kelangsungan politik negara, kata Persatuan Pemikir Muda Johor.

Ini kerana kata wakilnya, Fikri Allaudin, sehingga ke hari ini, satu demi satu pengasas parti itu sudah mula sangsi dan meninggalkan parti BERSATU.

“Dr Maszlee Malik pernah menzahirkan kegusaran akan nasib parti BERSATU selepas PRU15 nanti. Besar kemungkinan BERSATU tidak akan mempunyai masa depan yang cerah termasuklah bertanding di kerusi Parlimen dan DUN dalam kawasan majoriti Melayu apatah lagi berpeluang untuk mentadbir mana-mana negeri jika terus bersama UMNO dan PAS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, agak sukar bagi BERSATU meneruskan survival politiknya, jika diukur bersama UMNO dan PAS dari segi kekuatan ahli akar umbi, kekuatan jentera, sokongan pengundi dan mempunyai pengaruh besar dalam kalangan orang Melayu.



“Pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk BERSATU bersaing atau menggantikan UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu kerana walaupun UMNO tewas PRU-14, ahli parti masih tidak berganjak dan kekal setia bersama UMNO.”

Soalnya, apa pilihan yang ada pada BERSATU dan ahlinya?

“BERSATU yang diasaskan kerana kepentingan peribadi dan menjadi longgokan pemimpin yang melompat sudah terbukti bukan parti yang mempunyai wibawa dan masa depan politik.

“Dengan perpecahan dalaman yang tidak boleh disembunyikan lagi antara kem Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin, BERSATU ibarat bom jangka.



“Hanya menang 13 kerusi berbanding UMNO 54 kerusi pada PRU-14, BERSATU bukan parti ‘favourite’ orang Melayu. Malah masih tersasar dari realiti mahu menjadi parti orang Melayu untuk menggantikan UMNO.”

Ujarnya, ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, ahli UMNO tidak berganjak masuk BERSATU kecuali beberapa pemimpin ‘katak’ sahaja, dan ketika Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, ahli UMNO masih kekal setia bersama UMNO.

“Seharusnya ini isyarat yang perlu difahami oleh Tan Sri Muhyiddin. Orang Melayu tidak yakin dan hanya mengundi BERSATU-PH kerana sentimen dan persepsi semata-mata sahaja ketika itu.

“Persefahaman dan kerjasama oleh UMNO-PAS kepada Tan Sri Muhyiddin dalam agenda menyelamatkan negara melalui Perikatan Nasional membuktikan kedua-dua parti ini berjiwa besar dan tidak berdendam dengan Tan Sri.



“Tan Sri Muhyiddin tidak pernah meletak jawatan atau meninggalkan UMNO, beliau hanya dipecat ketika krisis politik ketika itu.”

Katanya, tidak mustahil untuk ahli UMNO membuka pintu pendamaian dan menerima semula Tan Sri Muhyiddin sepertimana UMNO dan PAS berdamai.

“Dan jika UMNO merasakan Tan Sri Muhyiddin individu yang layak untuk menerajui tampuk pemerintahan negara, beliau boleh dipertimbangkan sebagai calon Perdana Menteri daripada UMNO untuk Barisan Nasional dan Muafakat Nasional pada PRU15.

“Contohi Semangat 46 dan kembali kepada UMNO. Pilihan di tangan Tan Sri, BERSATU dan ahlinya,” katanya lagi. – UMNO Online



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker