Pesakit Covid-19 tak mahu pulang selepas 14 hari rawatan akan dipindah ke pusat kuarantin

Pesakit Covid-19 yang tidak mahu pulang ke rumah selepas disahkan positif walaupun sudah menjalani rawatan selama 14 hari, akan ditempatkan di pusat kuarantin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata pesakit itu akan dipindahkan dari hospital ke tempat lain, seperti institut latihan yang dijadikan pusat kuarantin.

“Sebelum ini ada pesakit Covid-19 yang dirawat sampai 56 hari atau 2 bulan.

“Jika mereka tak nak balik, kita akan lihat bagaimana kita boleh tempatkan mereka. Bukan di hospital lagi, mungkin di institut latihan atau tempat lain,” katanya dalam taklimat harian Covid-19 hari ini.

Hisham berkata, Kementerian Kesihatan akan memantau pesakit yang positif Covid-19 selepas 14 hari rawatan sehingga mereka tiada lagi gejala.

Semalam, Hisham dilaporkan berkata, pesakit Covid-19 yang diuji positif pada hari ke-13 rawatan akan dibenarkan keluar wad kerana mereka tidak mampu menjangkiti orang lain.

Katanya, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin, kebolehjangkitan individu itu selepas 14 hari adalah sifar.

Hisham menasihatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) KKM dalam usaha mengelakkan gelombang ketiga Covid-19.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker