Kelas dalam talian hingga 31 Dis untuk pelajar IPT

Institusi pendidikan tinggi (IPT) tidak lagi dibenar menjalankan semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka di dalam kampus, sebaliknya ia perlu dilaksanakan secara dalam talian sehingga 31 Dis ini.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju dengan cadangannya memberi pengecualian kepada 5 kategori pelajar pulang ke kampus secara berperingkat bagi melaksanakan PdP.

“Pelajar pasca siswazah mod penyelidikan di universiti awam dan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) diberikan kebenaran menyambung penyelidikan dengan kadar segera.

“Kelonggaran ini hanya dibenarkan kepada pelajar yang berkeperluan hadir secara fizikal ke makmal, bengkel, studio reka bentuk atau peralatan khusus bagi menjalankan penyelidikan.”

KPT berkata, pelajar tahun akhir pengajian di peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda yang memerlukan kerja klinikal, latihan amal, makmal, bengkel, studio reka bentuk, praktikal atau peralatan khusus dibenar melaksanakan PdP di kampus seawal 1 Julai ini.

“Pelajar berkeperluan khas yang mengikuti program pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) di politeknik dan kolej komuniti yang perlu mendapat bimbingan secara bersemuka bagi melaksanakan PdP kerana masalah pembelajaran dibenarkan seawal 1 Ogos.”

Kemasukan bagi pelajar baru sijil dan diploma politeknik, kolej komuniti serta IPTS sesi akademik 2020/2021 seawal 1 Julai ini.

“Kemasukan pelajar asasi dan diploma di universiti awam seawal 1 Ogos dan kemasukan pelajar ijazah sarjana muda, pasca siswazah mod penyelidikan di universiti awam dan IPTS seawal 1 Oktober.”

KPT berkata, semua aktiviti akademik di kampus perlu mematuhi SOP sepenuhnya, mengutamakan langkah keselamatan serta penjarakan sosial.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker