Seorang lagi ahli Parlimen PKR akan keluar parti esok

Seorang ahli Parlimen PKR akan menjadi wakil rakyat terbaru yang akan keluar parti, satu lagi tamparan kepada peluang parti itu untuk mengembalikan Pakatan Harapan ke tampuk kuasa persekutuan.

Sumber dalaman parti beritahu FMT bahawa ahli Parlimen itu tidak menonjolkan diri sejak tumbangnya kerajaan PH pada Februari, yang juga menyaksikan penyingkiran para penyokong bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali daripada PKR.

Azmin dan beberapa ahli Parlimen belot dan menyokong Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional, dengan sokongan Umno, PAS, dan GPS.

Dipercayai ahli Parlimen itu akan mengumumkan keluar PKR esok. FMT tidak menamakan wakil rakyat itu sehingga mendapat pengesahan.



Sumber sama beritahu FMT bahawa PKR akan menyaksikan “beberapa lagi ahli Parlimen” jadi wakil rakyat Bebas.

“Besar kemungkinan ahli-ahli Parlimen ini kekal sebagai wakil rakyat Bebas. Macam mana sekalipun, ia satu tamparan pada Anwar Ibrahim dan PH yang berusaha untuk mendapatkan sokongan wakil rakyat untuk kembali berkuasa,” kata sumber itu, merujuk kepada presiden PKR yang juga kini pengerusi PH.

Perkembangan ini seminggu selepas 2 Adun PKR di Kedah mengumumkan keluar parti, mempercepatkan kejatuhan kerajaan PH pimpinan Mukhriz Mahathir.

Mukhriz meletakkan jawatan MB beberapa hari selepas Adun Sidam, Robert Ling dan Adun Lunas, Azman Nasrudin mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas mesra PN.



FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker