PENGGABUNGAN UMT DENGAN UNISZA: BUKTI TERUKNYA KERAJAAN LAMA DAN BAGUSNYA KERAJAAN BARU

Share


Tahniah kepada mesyuarat Jemaah Menteri baru, khususnya kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, yang membatalkan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri lama pada 4 September 2019 untuk menggabungkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Cadangan penggabungan UMT dengan UniSZA ini adalah contoh nyata betapa teruknya kerajaan lama yang cuba menunjuk “bisa” dengan membuat keputusan “top-down” tanpa mengambil kira pandangan semua pihak yang berkepentingan di dalamnya, khususnya para ahli akademik dan para pelajar di UMT dan di UniSZA, malah bila ditentang oleh banyak pihak, termasuk pihak luar, terus juga berkeras untuk melaksanakannya.

Kita ketepikan sahaja bantahan-bantahan mantan Menteri Pengajian Tinggi dan Menteri Pendidikan atau Ahli-Ahli Parlimen seperti Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Haji Ahmad Amzad Hashim, kerana sebagai pemimpin UMNO dan PAS mereka mungkin dikira lawan PH, tetapi kita fokus sahaja kepada bantahan-bantahan warga UMT dan UniSZA serta pihak non-partisan lain.

Bahawa para ahli akademik di UMT dan di UniSZA menolak cadangan ini terbukti daripada kenyataan Majlis Profesor UMT yang mahukan kajian menyeluruh serta pandangan kesemua pemegang taruh termasuk pelajar, staf, alumni, ibu bapa, komuniti, kerajaan negeri dan semua pihak berkepentingan lain diambil kira terlebih dahulu. Rujuk di sini: https://www.freemalaysiatoday.com/…/majlis-profesor-umt-to…/

Bahawa para pelajar di UMT dan di UniSZA menolak cadangan ini juga terbukti daripada kenyataan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UMT, Muhammad Hasyimi Hasyim Mohd Suddin, dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA, Harun Osman, bahawa lebih 23,000 pelajar UMT dan UniSZA tidak bersetuju dengannya. Rujuk di sini: https://www.sinarharian.com.my/…/23000-pelajar-UMT-UniSZA-t…

Malah, bukan setakat warga UMT dan UniSZA sahaja yang menolak cadangan ini kerana 20 kesatuan kakitangan am universiti awam di negara ini tidak bersetuju dengannya malah menyelarnya kerana pihak kesatuan khususnya di UMT dan di UniSZA dan GAKUM sebagai kumpulan pelaksana tidak pernah dipanggil berbincang mengenainya. Rujuk di sini: https://www.sinarharian.com.my/…/Kesatuan-kakitangan-am-uni…

Begitu juga dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang merayu kepada kerajaan supaya tidak meneruskannya kerana ia tidak mengambil kira sensitiviti warga UMT dan UniSZA selain kerana proses penggabungan itu akan mengecilkan lagi bilangan universiti yang ada dalam negara ini. Rujuk di sini: http://www.astroawani.com/…/cuepacs-rayu-kerajaan-tidak-gab…

Lebih teruk ialah bila Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr Nor Aieni Mokhtar dikhabarkan telah diarah bercuti serta merta kerana tindakan beliau yang dilihat kurang bersetuju dengannya, antaranya termasuklah kerana menggesa kerajaan mengambil kira pandangan pihak berkepentingan dan kebajikan warga UMT dan UniSZA secara adil dan saksama sebelum melaksanakannya. Rujuk di sini: https://www.themalayapost.my/kurang-bersetuju-dengan-pengg…/

Sebab itulah maka dikatakan bahawa cadangan penggabungan UMT dengan UniSZA ini adalah contoh nyata betapa teruknya kerajaan lama yang langsung membakulsampahkan segala bantahan ke atasnya, termasuk daripada warga UMT dan UniSZA, sedangkan merekalah yang berjanji dalam Manifesto PRU 14 untuk memberi autonomi kepada institusi pengajian tinggi awam.

Sebab itulah juga dikatakan bahawa cadangan penggabungan UMT dengan UniSZA ini adalah contoh nyata betapa bagusnya kerajaan baru yang jelas terbukti di dalam kenyataan media Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, semalam bahawa Kementerian Pengajian Tinggi mengambil serius pandangan setiap warga universiti dalam melaksanakan penggabungan ini.

Tahniah juga kepada warga UMT dan UniSZA serta semua pihak lain yang bangkit bersuara membantah cadangan ini kerana perjuangan anda semua kini sudah membuahkan hasil. Anggaplah keputusan kerajaan baru ini sebagai hadiah hari raya kerajaan baru untuk warga UMT dan UniSZA.

Ia juga pastilah boleh sahaja dianggap sebagai satu kemenangan kepada rakyat Terengganu yang bilangan universitinya cuba dikurangkan oleh kerajaan lama.

Dr. Kamarul Yusoff

(Visited 6 times, 1 visits today)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *