Cukuplah Tun Dr. Mahathir

Kita menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan keadaan yang suram tanpa tradisi ‘balik kampung’, kunjung-mengunjung dan rumah terbuka akibat ancaman pandemik Covid-19.

Kesuraman ini bukan sahaja kerana tradisi dan norma raya kita telah terjejas, tetapi juga disebabkan ancaman pandemik ini kepada nyawa manusia dan ekonomi.

Di seluruh dunia, terlalu banyak industri dan aktiviti perniagaan telah terjejas teruk. Sehingga hari ini tamadun ini berusaha mencari jalan untuk bangkit semula dalam keadaan mencuba-cuba mencari solusi terbaik melawan pandemik ini.

Di negara kita, selain kemelut nyawa dan ekonomi, kita turut berhadapan ketidakstabilan politik yang mungkin antara paling getir dalam politik pasca hari merdeka.

Kerajaan yang dibentuk pada Mac 2020 bukan sahaja mempunyai majoriti tipis, malah bakal berhadapan ancaman penggulingan pada bila-bila masa.

Apa yang sangat mengecewakan ialah usaha untuk menjatuhkan kerajaan ini datang dari Tun Dr Mahathir Mohamad. Tokoh negarawan yang telah dua kali menjadi Perdana Menteri, dan berpuluh tahun bercakap soal pentingnya kerajaan yang stabil untuk mengukuhkan ekonomi negara.

Namun kita tidak boleh menafikan hak untuk menjatuh dan menubuhkan kerajaan melalui sistem demokrasi negara selagi dilakukan dalam jalur-jalur Perlembagaan negara.

Jika kita menafikan hal-hal ini menggunakan alasan pandemik dan ekonomi, maka saya khuatir kita membenarkan ‘precedent case’ yang merbahaya kepada masa depan sistem politik kita.

Alasan ini boleh sahaja digunakan pada masa depan untuk mengukuhkan kedudukan sang penguasa. Ini sesuatu yang harus ditangani secara berhati-hati.

Justeru dalam keadaan pandemik sekarang kita memerlukan pengorbanan semua pemimpin politik, terutama Ahli Parlimen, untuk menggunakan hak-hak mereka secara waras dan bertolak ansur buat sementara waktu.

Apa lagi Dr Mahathir mahu?

Majoriti rakyat pasti tertanya-tanya apa lagi yang tidak memuaskan hati Dr Mahathir?

Beliau telah menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali. Beliau telah berjaya menjatuhkan Barisan Nasional dan UMNO dalam pilihan raya lalu. Mohd Najib telah dijatuhkan dari jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Secara sulit juga Dr Mahathir pernah memberitahu rangkaian politiknya bahawa beliau ‘tidak begitu gemar’ dengan sikap DAP selepas menjadi kerajaan.

Dr Mahathir juga beberapa kali memberi isyarat bahawa beliau akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah berjanji.

Ini menggambarkan Dr Mahathir tidak ikhlas mahu Anwar menjadi Perdana Menteri. Sejak 1998 Dr Mahathir telah membuat keputusan bahawa Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri.

Hari ini, DAP sudah tiada dalam kerajaan. Janji untuk meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri pada Mei 2020 telah berkubur dengan pelantikan Muhyiddin Yassin.

Jadi apa lagi yang Dr Mahathir mahu?

Kepimpinan negara hari ini di tangan Tan Sri Muhyiddin Yassin, orang yang membantu beliau menjadi Perdana Menteri buat kali kedua. Orang yang membantu beliau menjatuhkan UMNO dan Najib Razak.

Muhyiddin tidak menjatuhkan Dr Mahathir. Dr Mahathir sendiri yang meletak jawatan walau ditegah oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong (SPBYDPA).

Apakah dengan meletak jawatan Dr Mahathir berharap akan diangkat lagi sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga?

Perlembagaan Negara, SPBYDPA dan Parlimen tidak seharusnya menjadi alat mainan Dr Mahathir sesuka hati.

Dr Mahathir selalu menyatakan pemimpin boleh datang dan pergi, apa yang penting ialah perjuangan untuk agama, bangsa dan negara kekal relevan.

Kenyataan ini sangat tepat dan benar, malangnya Dr Mahathir sendiri tidak berpegang kepada prinsipnya.

Cukuplah Tun! Carilah ketenangan diri dan berilah ketenangan kepada rakyat. Kami semua sudah penat dengan politik yang mesti mengikut kehendak hawa nafsu Tun semata.

Sempena hari yang mulia ini saya mendoakan Allah s.w.t membuka pintu hati Tun untuk merendahkan egonya dan menerima realiti politik hari ini.

Selamat hari raya, maaf zahir batin.

Ab Jalil Backer

SuaraTV

Related Articles

2 Comments

  1. Tun gila kuasa . Selagi “boboy” x boleh jd pm selagi itulah madey akan meroyan. Selagi madey hidup , siapapun yg jd pm x akan dpt memerintah malaysia dgn aman kecuali yg sanggup jd barua nya.

  2. Cukup Cukuplah TM dah tak kuasa lagi nak dengar POLITIK rakyat skrg nak makan tolonglah semua MP sokong PN supaya MALAYSIA terus maju dan EKONOMI baik ,jgn sokong pemimpin yg menyusahkan dan yg
    sombong

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker