FBM KLCI catat aliran peningkatan terpanjang sejak 2018

Bursa Malaysia
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: Pasaran saham tempatan mencatatkan aliran meningkat paling lama sejak Ogos 2018 dengan indeks penanda arasnya, FBM KLCI meningkat tujuh hari berturut-turut.

Malah, pada sesi dagangan hari ini menyaksikan indeks penanda aras Bursa Malaysia itu mencatatkan kenaikan harian yang tinggi berbanding indeks utama pasaran serantau lain yang majoritinya mencatatkan penurunan.

Indeks FBM KLCI meneruskan aliran meningkat yang dicatatkan sejak minggu lalu untuk ditutup pada 1,452.11 mata, naik 16.99 mata atau 1.18 peratus berbanding 1,435.12 pada penutup Rabu.

Ia dibuka 2.78 mata lebih tinggi kepada 1,437.49 dan berlegar antara 1,437.13 dan 1,455.13 sepanjang dagangan hari ini.

Pembabitan aktif pelabur runcit dalam pasaran saham tempatan kebelakangan ini juga menyaksikan jumlah dagangan harian mencecah paras rekod tertinggi dalam sejarah berjumlah 11.21 bilion unit bernilai RM4.40 bilion pada Isnin lalu, disokong peningkatan dalam saham berkaitan minyak dan gas.

Pasaran utama lain, Tokyo ditutup rendah 0.2 peratus, Shanghai susut 0.6 peratus dan Hong Kong jatuh 0.49 peratus, sementara Singapura rendah 0.2 peratus dan Wellington susut 0.5 peratus.

Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (Pribumi), Nazarry Rosli, berkata rali yang dicatatkan itu berikutan pelabur bersikap positif dengan prospek ekonomi dunia pasca COVID-19.

Beliau berkata, belian dilihat tertumpu sebahagian besarnya dalam kaunter berkaitan sarung tangan dan tenaga memandangkan pelabur bulis terhadap prospek permintaan terhadap sektor berkenaan.

“Berdasarkan prestasi semasa, unjuran indeks FBM KLCI selanjutnya ialah paras 1,450 hingga 1,480 mata,” katanya kepada BH.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee, berkata pihaknya percaya indeks FBM KLCI akan meningkat dengan menuju ke paras 1,450 mata berikutan harga minyak mentah terus meningkat.

Beliau berkata, harga minyak Brent kini berlegar sekitar AS$36 satu tong berbanding paras hanya AS$27 satu tong seminggu yang lalu.

“Bagaimanapun, kami melihat paras rintangan untuk indeks penanda aras sekitar paras 1,440 ke 1,445,” katanya dalam nota penyelidikan.

Pada 19 Mac 2020, penjualan besar-besaran di Wall Street susulan kebimbangan impak negatif pandemik COVID-19 dan harga minyak mentah yang rendah serta kemelesetan ekonomi dunia mengheret pasaran global lain turut menerima tamparan yang sama.

Ini termasuk pasaran saham tempatan dengan Indeks FBM KLCI ditutup pada paras 1,219.72 mata, paras terendahnya sejak Oktober 2009.

Namun begitu, indeks penanda aras Bursa Malaysia itu kini meningkat sebanyak 19 peratus daripada paras terendahnya dalam tempoh sembilan tahun itu.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker