UMNO perlu segera remajakan parti

Share
UMNO yang kini berusia 74 tahun perlu memastikan aspek peremajaan dilakukan bersungguh-sungguh dan bukan sekadar retorik.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, UMNO perlu berani mengetengahkan pemimpin muda yang berpotensi untuk mengembangkan idealisme mereka khususnya mendekati serta menarik golongan muda.

“Harapan Pemuda UMNO Negeri Johor ialah meremajakan UMNO jika mahu memastikan survival parti ini, ia perlu dilakukan. Peremajaan ini perlu segera dilakukan UMNO seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak.

“Proses ini bermaksud bukan perlu ditukar semua kepimpinan dalam UMNO, tetapi peremajaan perlu segera dilakukan bagi memastikan survival parti serta demi kesinambungan perjuangannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pada usia 74 tahun, pelbagai ranjau serta liku dilalui dan paling tidak boleh dilupakan kekalahan Barisan Nasional (BN) diterajui UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) setelah 60 tahun memerintah negara ini.

Puncanya kata beliau, tsunami rakyat dan faktor anak muda yang beralih arah kepada Pakatan Harapan (PH) dan kekalahan itu harus dijadikan pengajaran terbesar kepada UMNO untuk melakukan perubahan dalam parti keramat itu.

Beliau berkata, keberanian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melantik Ketua Penerangan UMNO daripada institusi sayap di peringkat bahagian seharusnya diikuti begitu juga teknologi dan digital kini memainkan peranan cukup penting.

Mohd Hari mengucapkan terima kasih kepada semua ahli yang masih setia dengan UMNO dan tanpa kesetiaan tidak berbelah-bahagi itu, UMNO sudah tentu lumpuh.

“Terima kasih kepada pemimpin-pemimpin lama dan baharu yang kekal setia berjuang ketika UMNO bergelombang tiada apa-apa dalam tempoh dua tahun lalu.

Kepada penyokong yang mula merasai denyutan nadi UMNO masih bermakna bagi semua pihak, selamat kembali dan selamat berjuang.

“Kemaafan harus dipinta kepada perjuang-pejuang UMNO terdahulu yang membina empayar seluas hari ini yang tidak dapat dipertahankan pada PRU14,” katanya.

Pemuda UMNO Johor katanya, berjanji akan mengembalikan semula kepercayaan rakyat serta orang Melayu khususnya dan berikrar akan menjadi ejen orang muda kepada kerajaan hari ini.

Menurutnya, UMNO bukan sebuah parti sempurna, namun tidak dinafikan terlalu banyak sumbangan yang dilakukan sejak 74 tahun diwujudkan terutama dalam memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara.

“UMNO sebuah perjuangan. Teruskan berjuang termasuk memperjuangkan muka-muka baharu dalam parti keramat orang Melayu itu,” ujarnya sambil mengucapkan selamat hari ulang tahun UMNO yang ke-74.

 

Leave a Reply