10 Exco Kedah angkat sumpah

Share

ALOR SETAR – Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Mereka adalah Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (Bersatu-Guar Chempedak), Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Pas-Tokai), Azman Nasrudin (Bebas-Lunas), Datuk Suraya Yaacob (UMNO-Sungai Tiang) dan Datuk Siti Ashah Ghazali (Pas-Merbau Pulas).

Turut mengangkat sumpah, Halimaton Saadiah Saad (Bersatu-Bukit Kayu Hitam), Wan Romani Wan Salim (Pas-Bukit Pinang), Brigedier Jeneral (B) Datuk Najmi Ahmad (Pas-Kupang), Mohd Firdaus Ahmad (Bersatu-Kuah) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Bebas-Sidam).


Barisan Exco Kedah berkenaan dilihat menggabungkan 60 peratus muka lama manakala selebihnya terdiri daripada muka baharu.

Beberapa muka lama yang sebelum ini pernah memiliki pengalaman menjadi Exco Kedah ketika pentadbiran terdahulu dilantik semula ke jawatan itu.

Antaranya, Halimaton ketika bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH) memegang portfolio Wanita, Kebajikan dan Pembasmian Kemiskinan dilantik semula sebagai Exco Kedah namun berlaku sedikit perubahan dan pindaan.


Beliau kini menjawat jawatan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan.

Beberapa Eco Kedah ketika zaman pentadbiran PH iaitu Firdaus dan Azman turut dilantik semula.

Ku Abdul Rahman dan Suraya ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional di Kedah dari 2013 hingga 2018 kini masing-masing dilantik sebagai Exco Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi serta Exco Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga.


Siti Ashah yang pernah yang menjawat Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan ketika zaman Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak (2098-2013) kini memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Pembangunan Insan.

Empat lagi muka baharu ialah Dr Mohd Hayati (Tokai), Najmi (Kupang), Wan Romani (Bukit Pinang) dan Dr Robert Ling (Sidam) akan menguatkan jentera pentadbiran kerajaan negeri.

Majlis angkat sumpah jawatan Exco Kedah berlangsung di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bermula jam 10 pagi tadi.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim.

Pada Ahad lepas, Muhammad Sanusi, 46, yang juga ADUN Jeneri mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-14 di hadapan Sultan Sallehuddin di Wisma Darul Aman.

Perikatan Nasional Kedah memiliki 23 ADUN melibatkan 15 dari Pas, empat dari Bersatu-Tan Sri Muhyiddin Yassin, dua dari UMNO dan dua dari Bebas.

Sinar

Leave a Reply