Memahami kontroversi kes Riza Aziz

Share


MINGGU lalu kita melihat kontroversi satu kes berprofil tinggi melibatkan salah seorang ahli keluarga VIP politik, Riza Aziz. Beliau didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah sekitar RM1.25 bilion (AS$248 juta) berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Melalui peguamnya, Riza Aziz telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara sebagai satu bentuk perundingan agar pertuduhan terhadap beliau digugurkan. Mahkamah Sesyen kemudiannya memutuskan agar Riza dilepas tanpa dibebaskan (DNAA – Discharge Not Amounting to an Acquittal) setelah pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan melalui representasi tersebut.

DNAA merupakan satu bentuk pengguguran kes oleh mahkamah terhadap seseorang tertuduh, tetapi tertuduh tersebut masih tidak terlepas daripada dituduh semula di mahkamah pada bila-bila masa pada masa hadapan.

Namun, apa yang ingin saya bincangkan di sini bukanlah berkenaan jenayah yang dilakukan Riza Aziz, tetapi lebih kepada kontroversi persetujuan yang dicapai antara pihak pendakwaan dan Riza hingga membawa kepada keputusan DNAA tersebut.

Pertama sekali, kita harus faham, undang-undang berkenaan pengubahan wang haram adalah satu undang-undang yang sedikit unik. Matlamat utama undang-undang ini adalah untuk mendapatkan semula wang yang telah digubah daripada aktiviti haram agar kembali ke kantung kerajaan, berbanding jenayah lain yang lebih terarah kepada konsep hukuman bagi tujuan pembendungan dan pengajaran. Jadi, untuk membandingkan kes di bawah AMLATFA dan lain-lain jenayah adalah agak kurang tepat.

Sejak AMLATFA diperkenalkan, sudah ramai individu dan organisasi yang telah ditawarkan kompaun oleh pihak berkuasa berkaitan dan bukannya Riza Aziz semata-mata.

Kedua, isu ini tidak wajar dilihat daripada sentimen politik semata-mata. Berdasarkan pengalaman saya berurusan dengan kes-kes berkenaan jenayah kewangan dan perkhidmatan kewangan, beban pembuktian bagi kes sebegini agak berat untuk dibuktikan kerana pihak pembelaan akan sentiasa bermain dengan aspek teknikal bagi menimbulkan keraguan terhadap bukti-bukti yang ada.

Risiko untuk sesuatu bukti itu ditolak oleh mahkamah juga tinggi jika pihak pendakwaan gagal menangkis aspek teknikal pembuktian tersebut.

Kita juga harus ingat, orang yang terlibat dengan aktiviti jenayah kewangan ini bukanlah golongan yang kurang bijak. Mereka mempunyai para penasihat yang sentiasa mencari jalan agar aktiviti mereka kelihatan sah. Jadi, seandainya kes berkenaan jenayah kewangan ini dibawa ke mahkamah kelak, banyak kelemahan pembuktian yang boleh digunakan oleh mereka untuk memastikan mereka bebas daripada hukuman.

Jadi, adalah munasabah untuk pihak pendakwaan mengenakan kompaun dan membuat penyelesaian di luar mahkamah agar kerajaan turut mendapat manfaat apabila kompaun yang dibayar dan aset-aset berkaitan yang dirampas. Ini semua akan masuk ke kantung kerajaan, berbanding membawa kes ini ke mahkamah dan masih tidak pasti sama ada pendakwaan akan berjaya dilakukan atau tidak.

Daripada satu aspek lain, sudah tentu jika pendakwaan berjaya dilakukan, nilai denda akan menjadi lebih tinggi daripada nilai kompaun.

Ketiga, ada juga pihak-pihak tertentu yang cuba merosakkan reputasi Jabatan Peguam Negara dan SPRM kononnya bertindak atas arahan politik. Ini adalah satu bentuk tuduhan rambang yang tidak berasas.

Penulisan ini bukan bertujuan untuk membela mana-mana pihak, sebaliknya hanya untuk memberikan sedikit pemahaman kepada orang ramai mengenai keunikan undang-undang berkenaan pengubahan wang haram ini.

Sentimen politik wajar dijauhi dalam menilai aspek-aspek berkenaan penghakiman dan undang-undang. Jika sentimen politik dan prejudis sentiasa membauri sebarang tindakan penghakiman dan undang-undang yang dibuat, maka kita akan sentiasa ada tanggapan negatif terhadap sistem keadilan di negara ini.

* Haeme Hashim ialah peguam di Tetuan Haeme Lew, Kuala Lumpur

(Visited 6 times, 1 visits today)


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *