Ganjaran besar malam yang dirahsiakan

MEMASUKI 10 akhir Ramadan menandakan kita semakin hampir dengan ganjaran yang paling besar sepanjang bulan puasa. Ganjaran itu dinamakan malam al-Qadar, padanya menjanjikan kelebihan besar yang tiada pada bulan lain bahkan tiada pada umat sebelumnya.

Firman Allah: “Malam al-Qadar lebih baik dari seribu bulan” (al-Qadr: 3) yang menyamai 83 tahun 4 bulan. Perkataan 1000 sangat sinonim dengan masyarakat Arab, menurut Imam al-Qurtubi bahawa al-Quran banyak menggunkan angka 1000 seperti kisah Nuh AS yang berdakwah selama 1000 tahun (kurang 50), bani Israel yang menginginkan hidup selama 1000 tahun, satu hari akhirat menyamai 1000 tahun dunia (Tafsir al-Qurtubi).

Kita juga pernah mendengar kisah ayat 1000 dinar dan pada zaman bani Israel seseorang yang dianggap ahli ibadah hendaklah beribadah 1000 bulan. Ketika Rasulullah menceritakan hal ini kepada sahabat, mereka sedih seolah-olah tidak dapat beribadah selama itu kerana Rasulullah bersabda bahawa umat baginda hanya hidup antara 60 hingga 70 tahun sahaja (al-Tirmizi).

Maka turunlah surah al-Qadr sebagai jawapan kepada keinginan yang sangat mendalam para sahabat terhadap ibadah (Sofwah al-Tafasir), maka malam al-Qadr merupakan anugerah Allah yang besar khusus untuk umat baginda sahaja. Menurut Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat empat (al-Dukhan) berkata Allah menyepurnakan beberapa perkara penting pada tahun itu antaranya menentukan urusan hidup dan mati, mulia dan hina, rezeki dan jodoh (Tafsir al-Tabari).



Seterusnya pada malam al-Qadar juga berlaku penurunan al-Quran yang pertama. Menurut Ibnu Abbas ketika menafsirkan ayat 1 (al-Qadr) bahawa al-Quran turun sebanyak dua peringkat. Peringkat pertama dari Luh Mahfuz ke langit dunia, penurunan inilah yang dimaksudkan turun secara lengkap 30 juzuk pada malam al-Qadar. Penurunan kedua pula dari langit dunia kepada Rasulullah secara berperingkat selama 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

Kemuliaan 10 akhir Ramadan merujuk kepada malamnya sementara malam pula merujuk kepada malam al-Qadar. Itulah penanda aras hati yang beriman seperti firman-Nya: “…semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa” (al-Baqarah: 183) iaitu mendapat gelaran al-Muttaqin selepas selesai berpuasa. Syarat orang bertaqwa mestilah beribadah pada malam al-Qadr kerana ia kemuncak ibadah sepanjang Ramadan. Aishah RA bertanya kepada Rasulullah tentang doa khusus pada malam al-Qadar, sabda baginda bacalah: “Ya Allah! Sesungguhnya Kau maha pengampun dan sukakan pengampunan, oleh itu ampunilah dosaku.” (al-Tirmizi).

Menurut Imam al-Nawawi meskipun malam itu dirahsiakan Allah ada orang yang terpilih dapat melihat kejadiannya, maka orang yang menyaksikan kejadian itu hendaklah menyembunyikannya untuk menjaga hati dan amalannya (al-Majmu’). Tidaklah menjadi wajib kejadian itu sebagai syarat malam al-Qadar, tidak jua menjadi syarat malam berkenaan mesti dilihat atau didengar sesuatu yang pelik dan aneh (Imam al-Tabari). Malam al-Qadar bukanlah mesti diteka atau dirasa sahaja, tetapi mesti dicari dan diusahakan. Hidupkanlah sepanjang 10 malam akhir Ramadan kerana malam al-Qadar pasti muncul pada malam-malam ini seperti petunjuk hadith Rasulullah dan berdoalah dengan bersungguh-sungguh agar dipilih untuk bertemu dengan malam itu.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker