6 strategi utama Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi – Wan Junaidi

Saya, sebagai Menteri di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah mengadakan perbincangan bersama Menteri Kewangan untuk melonjakkan semula operasi perniagaan di negara ini selepas Kerajaan memutuskan semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP) pada kapasiti penuh tanpa sekatan.

MEDAC telah memperkenalkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi yang menggariskan 6 strategi utama bagi menyokong kestabilan ekosistem keusahawanan, memulihkan operasi perniagaan usahawan dalam tempoh segera dan memastikan usahawan kekal berdaya saing dan mampan.

Pelan ini mengandungi 30 program yang akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu jangka masa pendek (immediate measure) bermula Mei hingga Disember 2020 dan jangka masa sederhana bermula Januari 2021 hingga Mei 2021. Seramai lebih 20,000 usahawan yang merangkumi usahawan mikro, perusahaan kecil sederhana, koperasi dan sektor informal akan menerima manfaat daripada pelaksanaan pelan ini.

MEDAC juga telah membawa 19 program dan inisiatif baharu kepada Kementerian Kewangan yang di antaranya adalah permohonan penambahan dana bagi TEKUN Nasional dan agensi-agensi di bawah MEDAC. Penambahan dana bagi TEKUN Nasional ini perlu dilaksanakan berikutan MEDAC menerima jumlah permohonan pembiayaan yang banyak daripada usahawan-usahawan PKS di seluruh negara. Kerajaan akan terus komited untuk membantu usahawan-usahawan yang terjejas kembali memulakan perniagaan supaya ekonomi negara dapat berkembang lebih baik.

Selain itu, MEDAC juga telah memulakan kerjasama strategik dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi melaksanakan program keusahawanan belia terutamanya dalam kalangan pelajar dan graduan IPT serta belia yang kehilangan pekerjaan akibat penularan wabak covid19. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan nanti adalah program keusahawanan dalam bidang pertanian yang memanfaatkan teknologi terkini seperti fertigasi dan program Mobilepreneur yang memberi peluang pekerjaan kepada belia.

Pelaksanaan program-program ini akan menggunakan pembiayaan yang disediakan melalui agensi-agensi MEDAC seperti TEKUN Nasional.

Justeru, sebagai Kerajaan yang prihatin, pelaksanaan inisiatif baharu ini diharap dapat menggerakkan semula aktiviti perniagaan PKS dan Mikro untuk menyumbang kepada pembangunan ekosistem ekonomi negara.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
#StayAtHome
#KitaJagaKeluargaKita
#UsahawanJanganPutusAsa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker