Parlimen : Agong mahu rakyat kekal perpaduan bangun negara

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menyuarakan kebimbangan kerana negara masih berdepan masalah polarisasi kaum dan mahu rakyat mengekalkan perpaduan dalam ucapan sempena pembukaan persidangan pertama Parlimen selepas pertukaran kerajaan Mac lalu.

“Di sebalik usaha kerajaan, beta berasa bimbang melihat polarisasi kaum yang masih wujud ketika ini.

“Pada hemat beta, sebarang bentuk tindakan provokasi dan fahaman serta nilai yang bertentangan dengan norma, adat dan undang-undang perlu dibendung sebelum ia merebak dan menjadi barah kepada kestabuilan negara,” katanya.

“Beta yakin rakyat akan terus erat bersatu padu dan bersepakat dalam membangunkan negara jika rakyat tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan.



Sultan Abdullah memulakan ucapan dengan menyorot perkembangan yang membawa kepada tumbangnya kerajaan Pakatan harapan (PH) dan krisis politik yang menyaksikan kelahiran gabungan Perikatan Nasional yang menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Agong berkata, beliau menggunakan kuasa perlembagaan dalam mengatasi krisis yang berlaku dan berharap ia tidak berterusan.

Katanya, perbezaan pendapat seharusnya dijadikan pencetus idea untuk membangunkan serta menyatukan negara, bukan sebaliknya.

“Sebagai pemimpin, ahli Parlimen perlu menjadi teladan dalam menyemai nilai positif kepada rakyat, perbezaan pendapat tidak seharusnya diakhiri dengan permusuhan dan caci mencaci.



“Ia perlu mempamerkan kematangan dalam berpolitik, termasuklah menjiwai keluh kesah rakyat, membela nasib rakyat, berpegang pada pinsisp keadilan, politik bersih, tidak sentuh sensitiviti agama dan bangsa, kedaulatan dan kedudukan raja-raja Melayu, serta tidak heret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu,” katanya.

Agong berkata, semua pihak harus memahami masalah kritikal yang berlaku kini melibatkan nyawa ramai pihak berikutan isu Covid-19.

“Rakyat jelata berhadapan pelbagai masalah dan cukup sukar iaitu pandemik Covid-19 ini, kerana itu kerajaan menetapkan untuk mesyuarat pertama hanya ada satu urusan majlis sahaja iaitu titah sempena penggal Parlimen yang baru ini.

“Beta yakin semua pihak akan terus bersatu padu dan membangunkan negara dan tidak disokong dengan api perpecahan dan sogokan.



“Sesungguhnya biarlah perpaduan dan keharmonian bermula di dalam Dewan yang mulia ini.

“Pada rakyat jelata, terus jaga kesihatan diri dan keluarga serta persekitaran setempat, amalkan penjarakan sosial, mudah-mudahan Malaysia akan menghadapi Covid-19 dengan jaya,”katanya.

Sebelum ini, pembangkang melalui Dr Mahathir Mohamad mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Kesemua 950 orang terdiri daripada ahli Parlimen, senator, warga Parlimen serta petugas media yang dijadualkan berada di Parlimen hari ini dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19 secara berperingkat mulai 13 Mei bagi memastikan mereka yang hadir bebas wabak itu.



Seramai 220 daripada 222 ahli Parlimen disahkan negatif Covid-19, sekali gus membolehkan mereka menghadiri persidangan.

Dua lagi ahli Parlimen tidak menjalani ujian saringan itu kerana sedang menjalani kuarantin kerana dikesan sebagai kontak rapat kes positif Covid-19.

FMT



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker