TNB tawar pelan bayaran mudah dalam pakej pasca-PKP untuk pelanggan kediaman

Share

Dalam usaha untuk mengurangkan impak pandemik COVID-19 kepada rakyat, Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Khamis memperkenalkan pakej pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pakej bantuan itu merangkumi Pelan Bayaran Mudah (PBM), penangguhan surcaj lewat bayar dan lanjutan penangguhan pemotongan bekalan kepada 7.5 juta pelanggan kediaman.

“Memandangkan pembacaan meter turut ditangguhkan semasa tempoh PKP, kami sedar kebimbangan pelanggan kediaman mengenai kenaikan bil mereka apabila pembacaan meter sebenar dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.


Jelasnya, PBM akan dilaksanakan secara automatik bagi semua pelanggan kediaman bermula daripada bil bulanan sebenar pertama yang diterima selepas TNB menyambung semula operasi pembacaan meter pada 15 Mei ini.

“Apabila pelanggan menerima bil bulanan sebenar pertama, mereka mempunyai pilihan untuk membuat pembayaran penuh atau mengikut jumlah PBM.

“Maklumat pembayaran akan dipaparkan di dalam kotak berwarna kuning pada sudut kanan bahagian atas bil yang diterima,” katanya.


Menurut Amir, pakej itu adalah sebagai tambahan kepada diskaun berperingkat berjumlah dua peratus hingga 50 peratus yang TNB tawarkan kepada pelanggan bagi penggunaan elektrik dari 1 April 2020 hingga 30 September 2020.

TNB, sebelum ini, menangguhkan sementara pembacaan meter fizikal dan penyerahan bil di premis pengguna semasa PKP.

Justeru, pengebilan dilakukan mengikut bil anggaran berdasarkan jumlah bil sebelumnya. Bil anggaran boleh didapati menerusi saluran digital TNB seperti portal dan aplikasi myTNB serta perbankan Internet sekiranya bil TNB telah di daftar sebagai pembayar.


Dalam pada itu, Amir berkata penangguhan surcaj lewat bayar adalah sehingga 30 September 2020 manakala penangguhan aktiviti pemotongan bekalan adalah sehingga 31 Julai 2020.

“Semua ini adalah sumbangan TNB yang diharapkan dapat membantu pelanggan menyesuaikan diri kepada norma baharu dan memudahkan pengurusan kewangan mereka,” jelasnya.

Operasi pembacaan meter dan penyerahan bil akan kembali dilakukan bermula esok (15 Mei) di negeri-negeri zon hijau iaitu Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak (kecuali Sri Manjung) dan Kelantan.

Pelanggan pula akan beransur-ansur menerima bil sebenar yang diselaraskan mengikut bil anggaran lalu bagi mendapatkan penggunaan sebenar mereka.

Bagi maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454 dari jam 8 pagi hingga 5 petang setiap hari atau emel kepada [email protected]

Awani

Leave a Reply