Muhyiddin tidak layak pengerusikan Mesyuarat MPT Bersatu – Mahathir

Share

Buat dengan betul jika mahu singkir saya, Dr M beritahu PPBM

Dr Mahathir Mohamad hari ini mencadangkan pemimpin PPBM supaya mengikut undang-undang dan perlembagaan parti jika mahu menyingkirnya dari parti itu.

Beliau mengingatkan perlembagaan sudah menetapkan kedudukan dan peranan seorang pengerusi – jawatan paling kanan dalam parti itu.

Mahathir menjelaskan mesyuarat pimpinan tertinggi (MPT), badan yang menentukan dan meluluskan dasar dan tindakan-tindakan penting, mesti dipengerusikan pengerusi parti.

“Jadi kalau saya tak dijemput…ini bermakna mesyuarat itu salah, dari segi perlembagaan,” katanya dalam video di Facebook.

Beliau mengulas laporan mengatakan pimpinan PPBM merancang untuk mengadakan satu mesyuarat MPT pada 11 Mei tanpa mengundang Mahathir, berdasarkan satu undangan kepada pemimpin parti itu yang dilihat media.

Mahathir hari ini mengkritik undangan itu, mengatakan ia juga dibuat secara salah.

Beliau menjelaskan undangan itu dibuat oleh setiausaha kerja “tanpa disebut siapa yang memberi arahan”.

“Kalau saya bagi arahan, setiausaha kerja mestilah sebut bahawa saya arah, tetapi saya tak bagi arahan. Saya seorang sahaja yang boleh bagi arahan,” katanya.

Beliau berkata presiden parti hanya boleh beri arahan kalau pengerusi tidak mampu atau tidak boleh, seperti sakit atau di luar negara, untuk mempengerusikan mesyuarat MPT.

Ini kerana perlembagaan menyatakan presiden mempengerusikan mesyuarat majlis presiden, menurut video itu.

“Majlis ini majlis saya,” kata Mahathir, dan menambah presiden tidak boleh mengisytiharkan dirinya sebagai pengerusi sementara kerana “tiada asas sama sekali dalam perlembagaan kita”.

Beliau juga tertanya kenapa tujuan mesyuarat tidak disebut dalam undangan kepada pemimpin parti.

“Usul mesti disebut dalam jemputan kerana ahli-ahli mesti tahu apa dianya yang hendak dibincang,” katanya.

Mahathir berkata banyak kesalahan yang dilakukan dalam percubaan menyingkirnya.

“Saya rela disingkir, tetapi dalam cara yang mengikut undang-undang dan perlembagaan parti,” katanya.

“Kalau saya nak disingkir pun, jemputlah saya,” tambahnya.

Mahathir menarik perhatian pendengarnya kepada peristiwa penyingkiran bekas timbalannya, Anwar Ibrahim ketika beliau biasa mempengerusikan majlis tertinggi Umno.

“Dia dijemput dan dia berucap dalam mesyuarat itu, tetapi ini tak nak bagi saya hadir, tak nak bagi saya ucap,” katanya.

FMT

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!