Bos SPRM pertahan kenyataan berkait penyelesaian bagi Riza selepas Tommy Thomas nafi

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertahankan penyelesaian terhadap penerbit Hollywood, Riza Aziz, adalah betul seperti dipersetujui bekas peguam negara, Tommy Thomas kerana ia merupakan keputusan pasukan pendakwaan kes itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengulas penafian Thomas yang beliau bersetuju dengan penyelesaian kes Riza dilepas tanpa dibebaskan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan pengubahan wang.

“Ini adalah kes yang sedang berjalan di mahkamah, jadi apa-apa saja keputusan dibuat timbalan pendakwa raya. Kami hanya maklumkan kepada masyarakat umum mengenai apa yang berlaku saja. Itu saja.

“Itu yang dimaklumkan kepada saya. Itu ceritanya, kalau tidak, takkan kenyataan itu jadi seperti itu.

“Tidak mengapalah, kalau bekas peguam negara hendak nafikan perkara itu, ia terpulang kepadanya. Saya okey dan kami teguh dengan kenyataan kami,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, SPRM memaklumkan Putrajaya akan mendapatkan kembali aset dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta (RM465.3 juta) selepas Riza dilepas tanpa dibebaskan.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, pelepasan Riza bersyarat, di mana pihak pendakwaan berhak mengembalikan pertuduhan dan mendakwa beliau semula jika tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.

Katanya, persetujuan itu sudah dipertimbangkan dan dipersetujui Thomas.

Thomas dilaporkan berkata, beliau tahu mengenai representasi bertulis daripada peguam Riza yang diserahkan kepada Pendakwa Raya ad hoc, Gopal Sri Ram.

Tetapi, katanya, tiada persetujuan untuk menggugurkan pertuduhan itu sebelum beliau meletak jawatan sebagai peguam negara, oleh itu ia adalah tidak benar dan rekaan semata-mata untuk mengatakan beliau memberikan persetujuannya.

Riza yang juga anak Rosman Mansor daripada perkahwinan terdahulu, berdepan 5 pertuduhan pengubahan wang berjumlah AS$248 juta.

Hakim Azman Ahmad membenarkan permohonan itu selepas Sri Ram memberitahu mahkamah ia tertakluk kepada tertuduh memenuhi perjanjian di pihaknya.

Beliau dihadapkan ke mahkamah pada Julai 2019 atas dakwaan menerima dana daripada Good Star Ltd dan Aabar Investments PJS Ltd yang dikatakan ada kaitan dengan ahli perniagaan diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker