15 pemimpin dan ahli Bersatu mahu ambil tindakan disiplin ke atas Muhyiddin.

‘Ambil tindakan disiplin terhadap Muhyiddin’

Sekurang-kurangnya 15 pemimpin dan ahli Bersatu menulis surat kepada Lembaga Disiplin bagi mendesak tindakan diambil terhadap presiden Muhyiddin Yassin kerana mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) tanpa persetujuan parti itu.

Ini berikutan laporan berita mengenai rakaman audio yang bocor di mana suara mirip Muhyiddin didengar memberitahu Majlis Tertinggi Bersatu agar memberi mandat kepada pengerusi parti, Dr Mahathir Mohamad untuk memutuskan sama ada parti itu perlu meninggalkan PH atau sebaliknya.

Ahli akar umbi juga mendakwa Muhyiddin menawarkan dirinya sebagai calon perdana menteri setelah Majlis Tertinggi memutuskan pada 24 Februari untuk meneruskan sokongan kepada Mahathir, yang mengundurkan diri sebagai perdana menteri pada hari yang sama.

Dalam surat-surat yang dilihat oleh Malaysiakini, mereka mengatakan Muhyiddin telah melanggar perlembagaan parti dan polisi asal Bersatu sejak penubuhannya untuk bersama menganggotai PH dalam pilihan raya umum ke-14 dan PRU seterusnya..

Menurut mereka, keputusan Bersatu keluar daripada PH untuk bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) dibuat tanpa pengesahan dan kebenaran majoriti ahli majlis pimpinan tertinggi.

“Beliau mengambil tindakan tidak sah untuk bergabung dengan parti Barisan Nasional dan PAS bagi tujuan penubuhan Kerajaan Persekutuan mulai 01.03.2020, yang bercanggah dengan polisi asal parti Bersatu semasa penubuhan untuk bersama-sama menganggotai Pakatan Harapan dalam perjuangan PRU-14 dan mewujudkan kerajaan persekutuan bersama Pakatan Harapan.

“Kami amat berharap agar tindakan disiplin berkaitan perenggan 2 di atas, akan dimulakan oleh pihak Lembaga Disiplin pada kadar segera, kerana ia keingkaran beliau terhadap peruntukan perlembagaan dan polisi parti yang sah selama ini,” tegasnya.

Portal berita ini dimaklumkan bahawa sebilangan ahli Bersatu tidak dapat menghantar surat mereka kerana ibu pejabat parti itu hanya akan beroperasi semula pada 9 Jun.

Namun, satu sumber mengatakan sebilangan kecil daripada mereka berjaya mengemukakan aduan setelah menghubungi pegawai yang ditempatkan di ibu pejabat parti itu.

“Orang lain yang tidak dapat melakukannya akan menghantar e-mel atau mengirimkan soft copy kepada parti,” tambah sumber berkenaan.

Ketika dihubungi, timbalan ketua Bersatu Kedah, Anuar Abdul Hamid dan ahli Bersatu dari Kota Melaka, Ahmad Faisal Mohd Yunos mengesahkan mereka telah membuat aduan terhadap Muhyiddin.

“Saya mengirim (surat) melalui pos laju ke markas parti dan salinan PDF (soft copy) kepada kakitangan parti.

“Rakaman audio menunjukkan Muhyiddin mengatakan dia akan membiarkan Mahathir membuat keputusan. Tetapi dia berbohong kepada majlis tertinggi apabila dia bertindak sebaliknya,” kata Anuar.

Katanya, lembaga disiplin mesti memanggil Muhyiddin kerana ini merupakan hal yang sangat serius.

Ini merupakan surat kedua yang dikemukakan Anuar.

Beliau merupakan salah seorang daripada enam pemimpin Bersatu yang mahukan siasatan terhadap mereka yang meminta mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan pada 11 Mei lalu.

Mesyuarat itu, yang kemudian ditangguhkan, dijadualkan diadakan tanpa kehadiran Mahathir dan timbalan presidennya, Mukhriz Mahathir.

Bersatu berpecah antara kumpulan menyokong Muhyiddin selaku presiden dan penyokong Mahathir yang juga pengerusi parti itu.

Kem Muhyiddin mahu tindakan terhadap Mahathir dan Mukhriz berikutan kritikan terbuka mereka terhadap keputusan Muhyiddin meninggalkan PH dan menjalin kerjasama dengan Umno, PAS dan lain-lain parti.

Mkini

Related Articles

One Comment

  1. Org main politik dia pun nk main politik. Org main politik makin cerdik tp dia makin bodoh.. woii bangang…klu kau hadap muhyiden ke lembaga disiplin apa yg kau dapat? Knp kau x lapor kes salahlaku madey? Bodoh punya org

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker