23 SD Adun Kedah sudah di tangan PN – sumber

Share

Perikatan Nasional (PN) Kedah kini bersiap sedia dengan 23 tandatangan akuan bersumpah (SD) termasuk sokongan empat anggota dewan undangan negeri (Adun) Bersatu untuk membentuk kerajaan baru di negeri itu.

Sumber PAS Kedah berkata, kini cuma menunggu langkah selanjutnya untuk mengambil alih kerajaan negeri daripada Pakatan Harapan (PH).

“Semua 23 Adun termasuk empat Adun Bersatu sudah tandatangan SD.

“Sekarang tunggu pihak wakil kerajaan negeri mengadap tuanku sultan (untuk maklumkan perkembangan semasa),” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Menurut sumber lagi, pembangkang kini menunggu lampu hijau untuk mengemukakannya kepada pihak istana.

Semalam media melaporkan PN Kedah mendakwa mempunyai majoriti yang cukup untuk mengambil alih kerajaan Kedah, sekali gus menumbangkan PH yang diketuai Mukhriz Mahathir.

Ia susulan pengumuman dua Adun PKR yang bertindak keluar parti dan menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin.

Malah, beberapa Adun Bersatu Kedah turut menyatakan kesediaan untuk memberi sokongan kepada pembentukan kerajaan baru yang akan diketuai oleh PAS.

Bagaimanapun Mukhriz, dalam sidang media hari ini, menegaskan beliau masih memegang jawatan menteri besar Kedah, memandangkan tiada pemakluman rasmi dibuat, termasuk kepada pihak istana.

Juhari jamin sokong kerajaan baru

Sementara itu Adun Ayer Hangat, Juhari Bulat ketika dihubungi berkata, beliau akan akur dengan keputusan untuk menyokong pembentukan kerajaan PN di Kedah.

“Ada orang PAS hubungi saya untuk ambil tandatangan, tetapi kebetulannya saya berada di Kuala Lumpur.

“Tetapi saya memberi jaminan untuk menyokong kerajaan negeri yang baru. Ini kerana kita ikut kepada keputusan parti,” katanya.

Setakat ini termasuk Juhari, dua lagi wakil rakyat Bersatu Kedah iaitu Adun Kuah dan Adun Bukit Kayu Hitam juga mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mereka memilih untuk menyokong pembentukan kerajaan PN.

Sebagai rekod kerajaan PN Kedah dijangka diisi dengan kekuatan 15 kerusi DUN milik PAS, dua kerusi BN, dua kerusi bekas Adun PKR dan empat Adun Bersatu.

Mkini

Leave a Reply