Barisan Hadapan Terus Dihargai, Terima Anugerah Hari UMNO – SUA

Sempena sambutan ulang tahun ke-74, UMNO hari ini menyampaikan Anugerah Hari UMNO kepada petugas Barisan Hadapan sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan mereka yang bekerja tanpa henti menyabung nyawa di dalam memerangi wabak COVID-19.

Ujar Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, anugerah tersebut telah disampaikan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada Timbalan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad di dalam satu majlis ringkas di pejabat beliau di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia di sini.

“Anugerah berbentuk cenderahati dan sijil penghargaan itu diberikan kepada 16 agensi (senarai pertama) yang terlibat dalam pelbagai tugasan mengurus, mengawal dan memulihkan negara daripada wabak COVID-19.

“Agensi-agensi berkenaan adalah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC), Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima Berhad, Astro Malaysia, Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA) dan Pos Malaysia Berhad,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, Ahmad Zahid amat menghargai sumbangan dan pengorbanan kesemua agensi serta ramai pihak lain termasuk orang perseorangan, di mana majlis penyerahan sijil dan cenderahati penghargaan kepada agensi-agensi lain akan disempurnakan olehnya pada masa yang akan ditentukan kelak.

“Sebelum itu, Ahmad Zahid mengadakan sesi sidang video dan ucap selamat Menyambut Hari UMNO bersama 13 Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri serta tiga wakil Kelab UMNO Luar Negara.

“Sidang video selama satu jam 10 minit itu diadakan menerusi aplikasi Webex,” katanya.

Ulasnya juga, pada jam 9.00 pagi sebelumnya itu, acara menaikkan bendera UMNO telah disempurnakan olehnya bersama-sama Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, Penolong Setiausaha Wanita, Pemuda dan Puteri serta Ketua-ketua Jabatan Ibu Pejabat UMNO.

“Acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa itu yang diiringi nyanyian lagu Bersatu-Bersetia-Berkhidmat, diadakan di perkarangan Menara Dato’ Onn.

“Ia dilakukan mengikut pematuhan prosedur Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan memakai mask dan penjarakan sosial,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker