Taki : Urusan k’jaan diutamakan, usaha bawa usul tak percaya pada PM mungkin gagal

Share

Usaha pembangkang untuk membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei mungkin tidak akan terlaksana.

Ia selepas penegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan bahawa hanya urusan kerajaan akan diutamakan dalam sidang selama sehari itu.

Takiyuddin berkata, urusan lain yang tertunggak seperti usul anggota Parlimen yang tidak sempat dibahas, akan dibawa ke sidang seterusnya pada 13 Julai.

Dalam sidang media hari ini, Takiyuddin menjelaskan perjalanan sidang Dewan Rakyat tersebut, yang merupakan kali pertama sejak penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN), dan dipendekkan ekoran wabak Covid-19.

“Yang di-Pertuan Agong akan merasmikan persidangan, kemudian dewan akan bersidang untuk menyelesaikan urusan-urusan kerajaan. Urusan kerajaan sahaja, kemudian ditangguhkan.

“Urusan kerajaan akan didahulukan. Kerajaan ada beberapa urusan (seperti) usul dan RUU,” katanya apabila ditanya jika usul lain akan turut dibahaskan.

Peraturan 15(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan urusan kerajaan perlu diutamakan berbanding urusan-urusan lain.

Takiyuddin berkata lagi, kerajaan akan membentangkan empat usul – pengisytiharan Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang; pelantikan seorang anggota Parlimen pembangkang untuk mempengerusikan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC); pelantikan jawatankuasa terpilih Parlimen dan penangguhan perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong.

Jawatankuasa terpilih itu akan menggantikan jawatankuasa terpilih Parlimen sedia ada.

Kerajaan PN juga akan membentangkan dua Rang Undang-undang (RUU) untuk bacaan pertama, iaitu RUU Perbekalan Tambahan (2016) dan RUU Perbekalan Tambahan (2020).

Bacaan kedua dan ketiga, serta perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong, akan dibawa ke sidang Julai nanti.

‘Usul lain, tunggu dan lihat’

Takiyuddin tidak menyatakan tempoh perjalanan sidang pada hari tersebut, tetapi berkata ia akan bermula pada pukul 10 pagi dan tanpa rehat tengah hari.

Berkenaan usul yang ingin dibawa mana-mana anggota Parlimen, beliau berkata ia bergantung kepada Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof.

“Kalau (usul) diterima untuk sidang ini dan dibenarkan bahas, ia akan dibahas pada sidang ini.

“Katakanlah usul itu tidak dibahaskan pada sidang ini, (ia akan dibawa) pada sidang akan datang,” katanya lagi ketika ditanya berkenaan perkara itu.

Beliau menegaskan kerajaan tidak masuk campur dalam keputusan yang dibuat Mohamad Ariff, berkenaan sama ada untuk menerima atau menolak usul yang dibawa anggota Parlimen.

Berkenaan gesaan pembangkang agar sidang dilanjutkan lebih lama, Takiyuddin menegaskan ia tidak disarankan kerana wabak Covid-19.

Mkini

Leave a Reply