Relevensi Politik Alaf Baru, UMNO Terus Bersama Pentingkan Rakyat – Shahril Hamdan

Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan berkata, dalam mengambil langkah untuk merelevensi UMNO dan politik alaf baharu, parti keramat ini perlu berhati-hati agar tidak tersalah langkah sehingga rakyat membuat persepsi kononnya UMNO mementingkan UMNO dan bukan UMNO mementingkan rakyat walau hakikatnya UMNO tidak pernah meninggalkan rakyat.

Jelas beliau, itulah antara cabaran yang perlu UMNO tempuhi dalam alaf politik masa kini.

“Kerana itu bagi saya, politik bukan sekadar berdasarkan kelayakan akademi tetapi adalah pengurusan rakyat yang tidak akan dapat dipelajari melalui buku. Itu sebabnya mereka yang berjawatan mempunyai ciri-ciri utama untuk jawatan tersebut.

“Dalam melakukan penambahbaikan, UMNO tidak boleh tiba-tiba mahu meletakkan teknokrat sahaja… kena ada keseimbangan. Jika kedua-dua aspek ini dapat kita capai maka sudah pasti imej UMNO itu akan menjadi lebih baik dan tidak ada parti yang mampu menandingi UMNO,” ujar beliau.

Shahril berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam wawancara khas menjelang Hari Ulang Tahun UMNO ke-74 tahun yang bertajuk “Relevensi UMNO & Politik Alaf Baharu” anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan secara langsung di facebook UMNO-Online malam tadi.

Mengupas politik masa kini, Shahril berkata, apa yang bakal menjadi keutamaan besar kini adalah masalah pengangguran dek kerana wabak COVID-19.

“Masalah pengangguran sekarang ini adalah satu keutamaan yang besar. Mengikut data yang dilihat, pengangguran yang bakal dialami negara bakal mencatat sejarah malah pakar ekonomi juga berpandangan sedemikian.

“Pengangguran paling teruk pernah dicatat adalah lebih kurang lapan peratus pada tahun 1987 ketika krisis ekonomi waktu itu dan kini kita bakal hadapi ikut unjuran kemungkinan 10 peratus.

“Jadi bagaimana kita mahu mengatasi masalah ini? Bagaimana kita nak menyelamatkan ‘supply chain’, nak selamatkan syarikat dari gulung tikar? Sebab itu kita ada pakej-pakej yang diberikan oleh kerajaan,” jelas beliau.

Tambah Shahril, tidak ketinggalan perkara yang perlu diberi perhatian adalah ‘demand side’.

“Kita bimbang jika tidak ada ‘demand’ maka orang tidak berbelanja. Sebab itu juga ada bantuan prihatin nasional dan sebagainya untuk memastikan rakyat berbelanja untuk merangsang ekonomi.

“Untuk orang muda, semua ini akan menjadi cabaran berganda kerana mereka yang baru tamat belajar dan tiada peluang pekerjaan.

“Inilah antara cabaran ‘contemporary’ UMNO. Selain kerajaan menerusi kementerian berkaitan yang bertanggungjawab, UMNO sebagai satu parti mesti ada idea untuk membantu pengangguran khususnya melibatkan anak muda,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker