Hayati Israk Mikraj dari sudut lain

ISRAK Mikraj adalah antara peristiwa penting yang berlaku kepada Nabi Muhammad SAW. Usah kita berbahas tentang bilakah tepatnya berlaku peristiwa mencarik adat ini. Usahlah juga berbahas adakah boleh untuk kita mengadakan majlis bagi mengingati peristiwa ini.

Apa yang pasti, peristiwa ini benar-benar berlaku kepada nabi kita, Muhammad SAW. Ini bersandarkan kepada ayat-ayat al-Quran antaranya firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat pertama: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Kebiasaannya Israk Mikraj dilihat dari sudut penerimaan ibadah solat lima waktu sehari semalam dan peristiwa-peristiwa yang dilalui dan diperlihatkan kepada baginda Rasul SAW. Kali ini melihat dan menghayati dari sudut pandang yang kurang diberikan perhatian oleh kebanyakan kita.



Cuba kita perhatikan pada ayat pertama surah al-Isra’ tadi. Adakah kita perasan di mana Allah SWT menyebutkan Nabi Muhammad dengan panggilan abdihi yang bererti ‘hamba-Nya’? Panggilan ‘hamba-Nya’ seperti ini kita boleh temukan pada beberapa ayat lain seperti surah al-Kahfi:1, surah al-Furqaan:3 dan surah al-Najm:10.

Lalu para ulama mengambil kefahaman yang tersirat daripada panggilan ‘hamba-Nya’ adalah untuk memberitahu kepada kita bahawa menghamba diri kepada Allah merupakan kedudukan paling mulia. Bahkan menghamba diri kepada nafsu, harta benda akan mengundang kecelakaan dan penyesalan tidak terhingga.

Secara mudah kita fahami apabila manusia menghambakan diri kepada sesuatu perkara, mereka sanggup lakukan apa sahaja maka sangat penting untuk kita sebagai manusia yang mengaku beriman dengan Allah, hari akhirat untuk mengabdikan diri hanya kepada Allah. Melakukan segala perintah Allah tanpa banyak soal.

Apabila Allah mewajibkan atau mengharamkan sesuatu perkara, maka turuti tanpa mempersoal. Manusia hari ini lagaknya seperti cerdik. Kata mereka, “kita boleh tanya kenapa ini wajib, kenapa itu haram, kenapa begini haram, kenapa begitu wajib dengan alasan supaya kita lebih beriman kepada Allah” tetapi hakikatnya dalam tidak sedar kita sedang menerapkan suatu sikap memberontak dan tidak puas hati terutama apabila tidak temukan jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut.



Walhal kita ini hanyalah hamba yang menumpang ihsan Allah hidup atas muka bumi ini. Layakkah seorang hamba untuk mempersoalkan tindakan atau keputusan Allah? Jawapannya, tidak layak sama sekali.

MISTERI

Kita hanya layak untuk patuh dan ikut semata-mata perintah dan ketentuan Allah. Bahkan sifat Allah yang Maha Pengasih terhadap hamba-Nya yang patuh dan taat di mana Allah akan kurniakan sebesar-besar ganjaran kepada hamba-Nya yang taat itu.

Hari ini, ada juga manusia yang hidup di atas muka bumi dengan sifat besar diri, berasa diri hebat, apatah lagi apabila dikurniakan pangkat dan kedudukan serta harta melimpah ruah. Lebih malang lagi jika ada manusia yang miskin dan lemah tetapi masih bongkak dan sombong.



Jangan sesekali lupa diri, kita hanyalah makhluk yang lemah dan hina. Kita hanya akan beroleh kemuliaan apabila mengabdikan diri kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Hiduplah menumpang di bumi ini dengan jiwa kehambaan supaya kita selamat daripada sifat-sifat keji seperti bongkak, sombong dan takbur.

Sekali lagi bila kita soroti peristiwa Israk Mikraj dengan jiwa kehambaan yang hakiki inilah baginda nabi kita Muhammad SAW dimuliakan Allah. Allah menjemput dan memperjalankan baginda Rasul SAW dengan suatu perjalanan agung. Baginda Rasul SAW diperlihatkan oleh Allah akan perkara-perkara yang melangkaui adat manusia.

Peristiwa Israk Mikraj juga menjadi misteri kerana ia berlaku pada waktu malam tanpa ada seorang manusia pun menjadi saksi kepada peristiwa mukjizat ini. Inilah juga sebenarnya pelajaran penting yang patut diinsafi bersama. Antara pasak penting keimanan ialah beriman kepada rasul. Menjadi ujian dan cabaran terbesar kepada umat Islam untuk membenarkan keimanan mereka kepada Rasulullah SAW.

Adakah sempurna iman kepada rasul dengan hanya melantunkan qasidah dan nasyid-nasyid memuji rasul? Adakah cukup keimanan kepada rasul dengan hanya pengakuan di bibir mulut. Iman adalah perkara berkaitan hati, lisan dan anggota badan. Hati mengakui dan menerima dengan yakin, lisan juga membenarkan apa yang tersirat di hati dan anggota badan menjadi bukti kepada keimanan.



Jadi, sikap kita sebagai orang Islam yang beriman, hendaklah kita dengan sedaya upaya membenarkan dan mengikuti segala syariat dibawa Nabi Muhammad SAW. Jalan keselamatan dan kesejahteraan hidup adalah dengan Islam. Islam adalah agama Allah, Nabi Muhammad SAW pula diutuskan Allah untuk mengajak dan mengajar manusia kepada-Nya dan beramal dengan agama-Nya.

Maka untuk beroleh selamat sejahtera dunia dan akhirat, hendaklah kita menuntut ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang membawa kita mengenal Allah dan rasul-Nya, ilmu yang menerbitkan rasa cinta kepada Allah dan rasul-Nya, ilmu yang mengatur kehidupan kita dengan syariat Ilahi. Ilmu adalah cahaya yang akan menyinari kehidupan kita. – UTUSAN

PENULIS ialah Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

 




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Johor: Mahathir Melihat Maszlee Malik Sebagai Menteri Pelajaran Yang Bermasalah



Video beri gambaran impak sekiranya semua senjata nuklear meletup [VIDEO]

PRN Johor: Muhyiddin Menipu Apa Hari Ini?

Hasil Forensik, Polis Dedah Temui Luka Besar Di Paha Tangmo Nida, Calar Di Badan Penumpang Bot

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker